Anda di sini

‘Penunggang Agama’ raih RM2 juta, bakal ditayang di Singapura

Advertisement
 

FILEM terbitan oleh dua penerbit besar tanah air, Astro Shaw dan Skop Productions iaitu ‘Penunggang Agama’ telah berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh dua minggu ia ditayangkan di Astro First.

Rata-rata penonton telah berkongsi respon positif di media sosial. Bukan itu sahaja, peminat di negara jiran juga turut membanjiri ruangan komen dengan melahirkan rasa keterujaan untuk menonton filem pengarah hebat, Syafiq Yusof.

Menariknya, topik dan mesej utama yang diselitkan dalam filem bukan sahaja hangat diperkatakan oleh peminat, tetapi ia turut mendapat perhatian daripada penggiat seni tempatan dan para selebriti terkenal tanah air.  

Rentetan daripada kejayaan itu, pihak penerbit tidak teragak-agak untuk terus bergerak proaktif dengan membawa filem tersebut untuk ditayangkan di pawagam Singapura bermula 15 April ini. Ini menjadikan ‘Penunggang Agama’ adalah filem pertama yang menembusi pasaran pawagam di luar negara semenjak pandemik COVID-19.

‘Penunggang Agama’ akan ditayangkan di pawagam Cathay menerusi lapan lokasi seperti AMK Hub, The Cathay, Orchard Cinelesirure, Downtown East, West Mall, JEM, Causeway Point dan Parkway Parade.  

Syafiq Yusof berkata, “Penunggang Agama adalah percubaan pertama saya dalam menghasilkan sebuah konten berelemenkan islamik dan khas dibuat untuk tayangan di Astro First. Alhamdulillah, kerja keras saya bersama kru dan barisan pelakon telah menerima respon positif daripada penonton dan saya ingin ambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton yang telah melanggan filem ini di Astro First.

“Saya anggap kejayaan filem Penunggang Agama adalah sokongan yang diberikan daripada peminat dan penonton untuk saya terus perbaiki dan hasilkan karya yang mengikut citarasa penonton.

“Saya harap selepas kehadiran filem ini di Singapura, ia akan dibawa pula ke pawagam tempatan dan sekali gus mampu menaikkan lagi keterujaan penonton kita untuk kembali menikmati pengalaman menonton di panggung wayang,” katanya.

Filem ‘Penunggang Agama’ yang menemui penonton di Astro First, saluran 480 sejak 25 Mac lalu, menampilkan lakonan mantap oleh Zul Ariffin, Nasir Bilal Khan, Azira Shafinaz, adik Puteri Nurqaseh, Salina Saibi, Johan As’ari, Sabrina Ali dan Datuk Jalaludin Hassan.  

‘Penunggang Agama’ mengisahkan tentang Amir dan Anna, pasangan suami dan isteri berdepan dengan cabaran getir kerana ibu tiri Amir, Datin Maria telah mengalami ‘gangguan makhluk halus’.

Dato Hafsyam, iaitu ayah Amir mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat seorang pakar ‘ruqyah’ bernama Tok Haji.

Namun, Amir dan Anna tidak mempercayai Tok Haji dan menasihati Dato Hafsyam untuk tidak lagi menggunakan khidmat Tok Haji. Anna merasakan Tok Haji sebenarnya adalah seorang bomoh yang bertopengkan agama Islam, manakala Dato Hafsyam pula merasakan isterinya disantau oleh ahli keluarganya sendiri.

Teka-teki bermula dalam plot penceritaan untuk mencari siapakah penunggang agama yang sebenar. Dapatkah Amir menyelamatkan keluarganya dari ujian ini? Siapakah dalang di sebalik kekacauan ini?

Segalanya bakal terjawab dalam filem ‘Penunggang Agama’ yang kini sedang ditayang-kan di Astro First.

Advertisement