Anda di sini

Pengurusan JKKK adalah ketelusan dan libat urus sistematik: Harden

Advertisement
 Harden (kanan) mengadakan perbincangan dengan Biju (tengah)serta ahli-ahli JKKK dari Taman Tiara, Sri Aman.
PERBINCANGAN: Harden (kanan) mengadakan perbincangan dengan Biju (tengah)serta ahli-ahli JKKK dari Taman Tiara, Sri Aman.

SRI AMAN: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis mengingatkan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) bahawa tatacara pengurusan sesebuah JKKK adalah ketelusan dan libat urus sistematik.

Katanya, perkara ini sebenarnya kerap dilaksanakan namun tidak memikirkan dokumentasi sedangkan dokumentasi adalah kertas rasmi yang menjadi rujukan ketika mengadakan aktiviti di peringkat JKKK masing-masing.

Menurutnya, terdapat enam perkara penting dititik-beratkan dalam organisasi JKKK iaitu mengadakan mesyuarat secara berjadual, membentangkan laporan kewangan, menyimpan rekod sebagai dokumentasi, merangka takwim aktiviti tahunan, merekod projek dibina, menghantar laporan ke Pejabat Daerah dan agensi berkaitan.

“Semua tuai rumah atau pengerusi setiap rumah panjang dan kampung hendaklah sentiasa bekerjasama dan sehaluan dengan kerajaan dan jangan mudah terperdaya dengan hasutan pembangkang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata demikian semasa mengadakan perjumpaan bersama tuai rumah terpilih dari kawasan DUN Simanggang di Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Simanggang di sini kelmarin.

Katanya, perjumpaan itu bagi mengetahui status aktiviti JKKK dan pengurusan organisasi terkini termasuk jumlah KIR di bawah bidang kuasa masing-masing serta perkembangan pembangunan di kampung dan taman melalui projek MRP dan Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP).

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Tuai Rumah Japing Gema selaku pengerusi JKKK Kampung Nyakai Baroh dan Bayum Lasa selaku setiausaha.

Perbincangan itu berkisar tentang kualiti kepimpinan seseorang tuai rumah mewujudkan kerjasama dan satu tujuan iaitu membangunkan kampung dengan cekap dan telus.

Pada perjumpaan berasingan, Harden bertemu Biju Anggat dari Taman Tiara selaku pengerusi JKKK baharu menggantikan Tuai Numpang Jimi yang bersara.

Kehadiran pengerusi JKKK itu turut ditemani Bruno Abu, setiausaha dan Rufus Ikau sebagai bendahari.

Perbincangan itu juga mengenai peranan dan tanggungjawab sebuah JKKK bertindak sebagai pertubuhan mewakili masyarakat menyampaikan masalah dan landasan membincangkan isu dalam kalangan ahli JKKK.

Advertisement