Anda di sini

Penganggur tak mengaku salah lakukan amang seksual

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki bawah umur berusia 14 tahun. 

Pengakuan tersebut dibuat oleh Mohamad Nizam Mohamad Sahari, 41, sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh kemaluan rakannya itu di sebuah rumah di Kampung Semerah Padi di sini, pada 21 Mac lalu, jam lebih kurang 5 pagi. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan direkodkan, Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi memohon kepada mahkamah agar tertuduh diberikan ikat jamin RM50,000 berserta dua penjamin tempatan. 

Hakim Steve Ritikos bagaimanapun membenarkan tertuduh diberikan ikat jamin RM15,000 berserta dua penjamin tempatan dan menetapkan 28 Mei depan sebagai pengurusan kes. 

Mahkamah turut mengingatkan tertuduh untuk tidak berkomunikasi atau mengganggu mangsa dengan apa cara sekalipun berikutan kes masih berjalan. 

Tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement