Anda di sini

MCS peluang penduduk pedalaman terima khidmat kerajaan

Advertisement
 Abdul Rahim menyerahkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19.
SERAH: Abdul Rahim menyerahkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19.

PITAS: Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (Mobile Community Services-MCS) Malaysia Prihatin memberi peluang kepada penduduk di pedalaman Sabah menerima perkhidmatan kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, program itu merupakan perkhidmatan turun padang agensi kerajaan dalam usaha menjayakan pelaksanaan hebahan dasar kerajaan dan membantu melindungi komuniti melalui pendedahan kesedaran vaksinasi kebangsaan.

"Program ini juga berfungsi sebagai platform tadbir urus rakyat bersama pemimpin-pemimpin masyarakat agar tiada rakyat yang tercicir menerima bantuan.

"Selain itu, ia juga bertujuan menyampaikan informasi mengenai pengurusan kerajaan sepanjang tempoh darurat," katanya dalam Program Malaysia Prihatin Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) dan Perasmian Kompleks Sukan Mini Pitas, pada Ahad.  

Sebanyak lapan agensi terlibat memberikan perkhidmatan bagi pengisian program antaranya Daftar e-Perolehan, pendaftaran dan taklimat vaksinasi COVID-19, taklimat dan hebahan dasar kerajaan serta semakan Bantuan Prihatin Rakyat.

Pada majlis itu, Abdul Rahim menyampaikan bantuan tunai kepada 350 orang penerima yang terjejas akibat COVID-19 dan menyerahkan sumbangan berbentuk 15 buah mesin desferal untuk pesakit talasemia daerah Kudat.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Harun Durabi, Pegawai Daerah Pitas Bakri Nanun, Timbalan Pegawai Kewangan Persekutan Sabah Siti Norhaini Osli dan Timbalan Penerangan Penerangan Sabah Harun Madasa.

Advertisement