Anda di sini

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 17-19 April ini

Advertisement
Dr Abdul Rahman (kanan) bercakap pada sidang media, hari ini. Turut kelihatan, Presiden MIS Datu Misnu Taha.  - Gambar oleh Roystein Emmor
Dr Abdul Rahman (kanan) bercakap pada sidang media, hari ini. Turut kelihatan, Presiden MIS Datu Misnu Taha.  - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 April ini dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19. 

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata upacara penyampaian hadiah merupakan antara beberapa perkara yang akan menampilkan kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini. 

“Tiada sentuhan fizikal antara penerima hadiah dan tetamu kehormat semasa penyampaian hadiah.

“Sebaliknya, hadiah akan diletakkan di atas struktur pentas dan penerima akan mengambilnya sendiri, manakala tetamu kehormat kami serta tetamu undangan lain akan menjadi saksi,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan acara itu, hari ini.

Langkah lain katanya, termasuklah menjemput tetamu tidak melebihi 200 orang, penjarakan fizikal satu meter antara tempat duduk, menyediakan pensanitasi tangan, pengambilan suhu dan pengimbasan MySejahtera.

“Pihak kami akan memastikan SOP untuk mencegah penyebaran COVID-19 dipatuhi sepenuhnya,” tegasnya.

Majlis penyampaian hadiah pada 19 April dijangka akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Dr Abdul Rahman juga memaklumkan bahawa acara tersebut diadakan setiap tahun, kecuali tahun 2020 berikutan wabak COVID-19.

Jelas beliau lagi, acara tersebut diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai budaya dalam kalangan umat Islam.

“Ia juga bertujuan untuk menghasilkan lebih banyak qari dan qariah berkaliber di negeri ini yang seterusnya akan dapat bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran 1442H/2021 dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) bersama Pejabat Residen Kuching dan agensi-agensi lain yang berkaitan serta akan diadakan di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah.

Terdapat 20 peserta pada tahun ini untuk Tilawah al-Quran dan 30 peserta bagi Menghafaz al-Quran dan mereka datang dari pelbagai bahagian di negeri ini.

Mereka akan dinilai oleh pakar dan imam Al-Quran dari dalam negeri Sarawak.

Advertisement