Anda di sini

Lelaki didenda RM5,000 kerana pecah masuk rumah

Advertisement
 

KUCHING: Padah melakukan jenayah pecah masuk rumah dan mencuri beberapa barangan seperti jam tangan serta sebotol gel aloe vera, seorang lelaki tempatan dikenakan denda RM5,000 atau sepuluh bulan penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulkipli Junaidi, 28, yang mengaku bersalah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh memecah masuk sebuah rumah yang diduduki pengadu wanita berusia 20 tahun yang terletak di Jalan Pending, di sini, pada 2 mac lalu, jam 9.30 malam. 

Berdasarkan keterangan kes, pengadu, ibunya dan beberapa orang rakannya ternampak seorang lelaki (tertuduh) membuang satu beg plastik daripada tingkap rumah tersebut sebelum dia terjun keluar. 

Rakan pengadu seterusnya berjaya menahan tertuduh dan setelah memeriksa barang di dalam beg plastik tersebut, pengadu mendapati tertuduh telah mencuri sehelai jaket, dua utas jam tangan, sebotol gel aloe vera, duit syiling dan dua helai duit kertas. 

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki warga Indonesia dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mengendalikan mesin perjudian. 

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Dedi, 26, dikuatkuasakan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 31 Mac lalu, selain memerintahkan tertuduh untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selesai menjalani hukuman.

Tertuduh yang berasal dari Singkawang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kafe di Tabuan Tranquility, di sini, pada 31 Mac lalu, jam 8 malam. 

Antara barangan yang dirampas adalah wang tunai berjumlah RM296, sebuah telefon pintar dan sekeping keratan kertas tercatit ID dan kata laluan. 

Tertuduh tidak dwakili peguam.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang. 
 

Advertisement