Anda di sini

KPDNHEP jalankan pengauditan bagi menangani ketirisan minyak masak

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi bahagian penguat kuasa sentiasa menjalankan pengauditan secara komprehensif dalam operasi pemantauan mereka.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi (gambar) berkata ia bagi memastikan termasuk setiap pengeluaran minyak masak bersubsidi dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya. 

Menurut beliau, susulan dari pengauditan dan tindakan tegas dalam menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi, sebanyak 318 kes dihasilkan di seluruh negara melibatkan minyak masak sejak tahun 2016 sehingga Mac 2021. 

“Malah, dalam tempoh tersebut, sebanyak empat buah syarikat pembungkus minyak masak diambil tindakan dengan membatalkan kuota yang diberikan kepada mereka sebelum ini.

“Berdasarkan rekod, terdapat 11 pembungkus minyak masak bersubsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) di Sarawak dengan kuota berjumlah 3,067 metrik tan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar hari ini sebagai mengulas laporan akhbar sebelum ini yang mendakwa kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di Wilayah Sarawak.

Laporan tersebut menyatakan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca daripada tindakan syarikat pembungkus minyak masak yang tidak jujur dalam membekalkan minyak masak bersubsidi mengikut kuantiti ditetapkan bagi edaran ke pasar raya dan kedai runcit. 

Laporan tersebut juga mencadangkan supaya KPDNHEP mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas aktiviti pembungkusan minyak masak bersubsidi seterusnya memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM400 juta pada tahun 2021 dibelanjakan dengan berhemah.

Nanta berkata, semakan rekod juga mendapati terdapat 25 aduan berkaitan minyak masak di Wilayah Sarawak pada tahun 2020 sehingga 31 Mac 2021.

Selain itu, sejumlah 4,221 pemeriksaan dibuat ke atas premis-premis yang menjual minyak masak sehingga 12 April 2021, dan menghasilkan sejumlah lapan kes sepanjang tahun 2021 ini, ujarnya.

Ahli Parlimen Kapit itu menjelaskan kerajaan selain itu, masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan termasuk tahun 2020 dan 2021 walaupun harga olein sawit RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) meningkat sebanyak 83 peratus kepada RM4,122 per tan metrik pada tahun 2021 berbanding RM2,255 per tan metrik pada tahun 2020. 

Katanya ia bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1kg iaitu 1.5kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah.

“Kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen Kerajaan untuk membekalkan 60,000 tan metrik setiap tahun meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat.

“Sekiranya kenaikan harga RBD Palm Olien berterusan menunjukkan trend peningkatan, Kerajaan menjangka kos akan terus meningkat bagi skim ini, daripada RM400 juta kepada RM1.8 billion,” tegasnya.

Beliau berkata maka itu, keputusan kerajaan untuk mengekalkan kuota dalam program COSS menunjukkan komitmen kerajaan yang tinggi untuk mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat.

  • oleh
  • Advertisement