Anda di sini

COVID-19: Sarawak catat kes harian tertinggi, 607 kes dengan empat kematian

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan kes COVID-19 harian tertinggi dengan 607 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 20,959 kes.

Ia merupakan kali pertama Sarawak mencecah lebih 600 kes berbanding kes harian tertinggi sebelum ini 555 kes iaitu pada Jumaat lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan media hari ini, berkata daripada 607 kes baharu COVID-19, kes tertinggi direkodkan di Bintulu iaitu 130 kes, diikuti Kuching (106), Sibu (106), Mukah (52), Miri (49), Kapit (33), Meradong (29), Saratok (23), Samarahan (14), Sarikei (14), Betong (8), Bukit Mabong (8), Selangau (8), Subis (8), Dalat (5), Kanowit (3), Matu (3), Julau (2), Serian (2), Sri Aman (2), Asajaya (1) dan Beluru (1).

Menurutnya, jumlah kes hari ini yang paling tinggi dilaporkan disebabkan terdapat kes yang dilaporkan di Pusat Latihan Polis Sarawak (PULAPOL) iaitu 61 kes dan mereka ditempatkan di dalam pusat latihan yang mana keadaan mereka adalah terkawal. 

"Sarawak turut merekodkan empat kematian melibatkan jangkitan COVID-19 yang menjadikan jumlah kematian meningkat kepada seramai 128 orang di negeri ini.

"Kematian ke-125 melibatkan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) berumur 36 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri bagi tujuan pembedahan elektif dan kes dikesan positif COVID-19 pada 10 April 2021 melalui ujian saringan rT-PCR.

"Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2021. Kes ini mempunyai ko-morbid penyakit systemic lupus erythematosus," katanya.

Sementara itu JPBNS memaklumkan kematian ke-126 melibatkan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) berumur 67 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami masalah pendarahan saluran percernaan dan saringan ujian rt-PCR telah dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 31 Mac 2021.

Katanya keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2021. Kes ini mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit radang hati (Hepatitis) dan penyakit buah pinggang tahap akhir.

Bagi kematian ke-127 kata jawatankuasa, ia melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 67 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana kesesakan pernafasan. 

Tambahnya kes mengalami gejala demam, batuk dan lemah badan beberapa hari yang lepas. Saringan ujian rt-PCR dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 2 Mac 2021. 

"Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2021 dan kes ini mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang kronik. Dimaklumkan kes ini daripada Kluster Kiba.

"Manakala bagi kematian ke-128 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 42 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami kesesakan pernafasan. Kes juga mengalami gejala batuk dan kurang selera makan beberapa hari yang lepas. Saringan ujian rt-PCR dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 6 April 2021," katanya.

Menurut jawatankuasa keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2021. Kes ini mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan strok.

Mengulas lanjut kes baharu hari ini, JPBNS berkata daripada 607 kes baharu yang dilaporkan, seramai 41 orang menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.

"Seramai 372 kes yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang diberi arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin disediakan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement