Anda di sini

Abang Johari lancar Bandar Raya Pintar Miri

Advertisement
 Lee (kanan) menyerahkan Pelan Induk Pembangunan Hebat Miri (2021-2030) kepada Abang Johari sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.
MANTAP: Lee (kanan) menyerahkan Pelan Induk Pembangunan Hebat Miri (2021-2030) kepada Abang Johari sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

MIRI: Pelancaran Bandar Raya Pintar Miri oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam, merupakan langkah awal Miri untuk berkembang menjadi bandar lestari dan hab ekonomi di utara negeri ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, ia bakal menjadi pemangkin kepada Pelan Induk Pembangunan Hebat Miri (2021-2030) yang lebih besar dengan matlamat memba-ngunkan Miri sebagai bandar lestari yang pintar.

“Pelan induk pembangu-nan ini akan meletakkan bandar raya Miri sebagai hab ekonomi bagi bahagian Miri yang akan menyediakan perkhidmatan sokongan, infrastruktur, kemudahan yang diperlukan dan pasaran untuk menyokong kawasan pedalaman seperti daerah Baram, Telang Usan, Beluru dan Subis,” katanya.

Berucap pada majlis pe-rasmian tersebut Lee berkata, Miri bertuah kerana diberi penghormatan oleh Ketua Menteri untuk menjadi perintis projek inisiatif Bandar Raya Pintar Miri.

“Kami juga ingin mengu-capkan terima kasih kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan atas sokongan kuat beliau untuk melaksanakan Bandar Raya Pintar Miri dengan membantu mengatur SAINS serta beberapa agensi Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama dengan Miri Majlis Bandaraya (MBM) dan kementerian saya untuk melaksanakan projek tersebut,” katanya.

Terdahulu Datuk Bandar Adam Yii berkata, projek perintis untuk konsep Bandar Raya Pintar Miri bakal menjadi batu loncatan untuk mengembangkan ekonomi digital bukan sahaja bagi pembangunan di bandar ini tetapi juga di negeri Sarawak amnya.

Beliau berkata, MBM amat berbesar hati kerana dipilih sebagai perintis projek Bukti Konsep Bandar Raya Pintar dan akan memastikan ia berjaya dalam membantu mengembangkan ekonomi digital untuk pembangunan dan faedah di Miri dan negeri Sarawak.

“Konsep bandar raya pintar adalah gagasan dan satu daripada 47 Pelan Tindakan Strategik yang dirangka Ketua Menteri Sarawak bertujuan meningkatkan negeri ini kepada status negeri maju yang berasaskan ekonomi digital di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak dari 2018 hingga 2022.

“Oleh sebab itu saya sangat bersyukur dan berbesar hati kerana Kerajaan Sarawak telah memberi kepercayaan kepada MBM untuk melaksanakan projek perintis bagi konsep bandar raya pintar ini di Miri,” jelas beliau.

Menurut Yii, setelah berjaya dilaksanakan dengan pemantauan, penyesuaian demi penyesuaian, bukti konsep ini akan menjadi cetakan biru yang akan diterima pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Sarawak.

“Seingat saya, pada 30 Ja-nuari 2020, Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani antara MBM dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd mengenai pelaksanaan projek Bandar Raya Pintar Miri ini,” katanya.

Yii memberitahu, sejurus MoA tersebut ditandatangani pihaknya mula melaksanakan projek perintis itu dengan membahagikannya kepada 10 program yang merangkumi Bandar Selamat yang dilaksanakan di Wireless Walk, Jalan North Yu Seng di mana kamera litar tertutup (CCTV) dan Panic Button Smart Poles telah dipasang.

Program kedua, Papan Tanda Digital yang dipasang di Wireless Walk dan di Pusat Khazanah Miri; program ketiga Taman Selamat yang dilaksanakan di Taman Bulatan dan Dataran Kipas dengan pemasangan CCTV dan Panic Button Smart Poles di mana ia terbukti berkesan apabila orang awam mulai memanfaatkannya dan menekan butang panik ini untuk memberi amaran kepada Pusat Amaran MBM bagi mendapatkan bantuan pasukan perubatan apabila seorang awam ditemui pengsan di taman berkenaan dan tindakan pantas tersebut berjaya menyelamatkan nyawanya.   

Program empat pula, Pusat Amaran Bandar Raya Pintar Miri yang juga merupakan pusat saraf kepada konsep bandar raya pintar ini, kelima Bas Pintar di mana seseorang boleh memeriksa laluan, pembayaran dalam talian sama ada menggunakan aplikasi Sarawak Pay atau Kad Pengurangan Tambang, selain menggunakan wang tunai untuk membayar tambang bas.

Program keenam pula adalah Trak Pintar di mana peranti dipasang untuk mengesan laluan trak pemu-ngut sampah untuk mengesan sebarang tumpahan sampah, jika ada.

Ketujuh, Perparitan Pintar iaitu alat pengesan dipasang pada tiang khas untuk memantau paras air longkang dan kemudiannya mencetuskan penggera sekiranya paras air meningkat ke paras banjir terutama ketika air pasang atau ketika hujan lebat. Ini dipasang di kawasan Taman Tunku dan Jambatan Piasau.

Program kelapan berupa aplikasi Bandar Raya Pintar Miri iaitu Miri CARES untuk menangani maklum balas dan aduan, selain membolehkan masyarakat Miri berinte-raksi secara langsung dengan pihak MBM mengenai masalah yang berlaku di sekitar mereka dan boleh digunakan untuk melakukan promosi pelancongan di Miri.

Yang kesembilan pula, aplikasi Bandar Raya Pintar Miri untuk Telefon Mudah Alih yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit untuk pelbagai kegunaan dan terakhir, Sistem Perakaunan Kerajaan Tempatan iaitu versi eLA 2 yang lebih baik untuk meningkatkan pentadbiran dalaman bagi MBM.

Menurut Yii lagi, kesemua 10 aplikasi bagi konsep Bandar Raya Pintar Miri ini sudah dan sedang dilaksanakan secara berperingkat sejak MOA pada 30 Januari tahun lepas.

“Maklum balas awal daripada masyarakat umum di Miri amat memberangsangkan.

“Pada masa ini, kami sa-ngat menghargai semangat anda dalam projek ini dan terima kasih kepada semua warga Miri atas harapan yang tinggi terhadap hasil usaha kami ini.

“MBM akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi semangat dan harapan anda.

“Sehingga hari ini, walaupun kita menyaksikan pelancaran rasmi Bandar Raya Pintar Miri namun segala aplikasi yang kita buat tidak akan berakhir hari ini sebaliknya permulaan bagi MBM untuk melakukan lebih banyak usaha, merangkumi lebih banyak aplikasi dengan capaian yang lebih komprehensif dan lebih luas untuk faedah masyarakat di Miri,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement