Anda di sini

​​​​​​​242 pelajar warga Indonesia dihantar lanjutkan pelajaran

Advertisement
 Heni Hamidah memberikan nasihat dan kata semangat kepada semua pelajar.
NASIHAT: Heni Hamidah memberikan nasihat dan kata semangat kepada semua pelajar.

TAWAU: Seramai 242 pelajar warga Indonesia dari Community Learning Center (CLC) dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) dihantar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Indonesia.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau Heni Hamidah berkata, kumpulan pelajar yang dihantar kali ini adalah siri keempat yang dilakukan pihaknya.

"Penghantaran pelajar ini merupakan program tahunan Kemdikbud Republik Indonesia (RI) bersama Perwakilan RI Tawau dan Kota Kinabalu, SIKK serta yayasan Pendidikan Sabah Bridge (SB)," katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, pelajar yang terdiri daripada 102 lelaki dan 140 perempuan itu merupakan penerima biasiswa pendidikan negara Indonesia.

"Mereka akan ditempatkan di beberapa pusat pendidikan termasuklah di Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Yogyakarta, Lampung, Kalimantan Selatan dan Tengah serta Sulawesi Selatan.

"Kesemua pelajar berkenaan dibawa menggunakan dua feri dari pelabuhan Tawau ke pelabuhan Tunontaka Nunukan-Kalimantan Utara sebelum dihantar ke pusat pengajian masing-masing," katanya.

Beliau berkata, semua pelajar berkenaan juga sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif sebelum mereka dibenarkan menaiki feri ke Indonesia.

"Kami telah memberikan motivasi dan semangat kepada pelajar yang dihantar melanjutkan pelajaran supaya mereka dapat memanfaatkannya dengan sebaiknya demi masa depan yang lebih baik," katanya.

Heni turut menzahirkan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk kerjasama kerajaan Malaysia dan Indonesia kerana melancarkan perjalanan penghantaran pelajar kali ini yang sudah tertunda susulan pandemik COVID-19.

"Sehingga siri keempat ini, kerajaan RI telah menghantar seramai 602 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia," katanya.

  • oleh
  • Advertisement