Anda di sini

Warga Miri dinasihati patuh peraturan ditetapkan JPBB

Advertisement
 Lee semasa mempengerusikan mesyuarat JPBB mengenai peraturan dan pencegahan COVID-19 di tempat kerja dan rumah kelmarin.
MESYUARAT: Lee semasa mempengerusikan mesyuarat JPBB mengenai peraturan dan pencegahan COVID-19 di tempat kerja dan rumah kelmarin.

MIRI: Warga Miri dinasihati mematuhi peraturan ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam mencegah COVID-19 di rumah dan tempat kerja.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri bertanggungjawab terhadap JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, berdasarkan analisis di tempat kerja terdapat kakitangan membuka pelitup separuh muka dan makan minum bersama semasa rehat.

“Terdapat kakitangan bergejala juga turun kerja dan ada yang tidak memakai pelitup separuh muka.

“Manakala kalangan keluarga ada bergejala tidak membuat pemeriksaan di klinik kesihatan. Terdapat juga kontak rapat tidak berhati-hati dan kuarantin diri di bilik perseorangan semasa kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan semasa mesyuarat di sini kelmarin.

Lee memberi contoh, Kluster Pujut Satu merupakan kluster tempat kerja dikesan melibatkan polis bantuan di SESCO Pujut, Jalan SESCO, Jalan Pujut Satu, Sabtu lalu.

Katanya, kes indeks kepada kluster ini melibatkan seorang lelaki warganegara tempatan dikesan melalui saringan kontak kes positif COVID-1 9 pada 27 Mac lalu di Hospital Sibu dan disahkan positif melalui ujian rT-PCR pada 29 Mac lalu.

“Kes mula mengalami gejala demam dan batuk pada 20 Mac lalu. Kes ini mendapat jangkitan daripada komuniti.

“Penularan jangkitan adalah berpunca daripada pergaulan rapat sesama ahli keluarga dan rakan sekerja kepada kes indeks ini,” jelasnya.

Justeru, JPBB mengeluarkan garis panduan kepada orang ramai hanya berada di rumah sendiri, tidak dibenarkan keluar melainkan situasi kecemasan, penjarakan sosial dan sentiasa menggunakan pelitup separuh muka.

Selain itu, makan berasingan dengan ahli keluarga lain, tidak menerima pelawat semasa kuarantin serta menghubungi pihak kesihatan terdekat jika bersimptom dan tidak sihat.

“Bagi pencegahan di tempat kerja, kita mahu deklarasi kesihatan dilakukan setiap hari sebelum bekerja dan menggunakan scan MySejahtera untuk scan QR code.

“Elak berkumpul seperti makan bersama di pantry dan meja tempat kerja. Penyelia tempat kerja perlu menyediakan pensanitasi tangan. Disinfeksi di tempat kerja boleh dilakukan oleh pekerja sendiri setiap hari,” katanya.

Di samping itu, Lee mengingatkan ibu bapa sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah dan pentadbiran sekolah.

“Sekiranya salah satu daripada ibu bapa atau ahli keluarga isi rumah dikenali sebagai kontak rapat dengan kes positif dan dikuarantin oleh Jabatan Kesihatan, ibu bapa dinasihati menghantar anak ke sekolah dan tunggu sehingga keputusan rT-PCR diketahui,” katanya.

Selain itu, anak-anak yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sesak nafas dan kehilangan deria bau perlu mendapatkan pemeriksaan dan tidak perlu ke sekolah.

  • oleh
  • Advertisement