Anda di sini

Tiong gesa laksana SOP lebih ketat di Bintulu untuk kekang penularan COVID-19

Advertisement
 

BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) menyarankan agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Antara cadangan saranan beliau ialah mengehadkan waktu perniagaan di semua premis di Bintulu sehingga jam 8 malam setiap hari.

Bagi tujuan sama katanya, semua premis makanan dan minuman termasuk kedai kopi dan restoran hanya dibenarkan menyediakan khidmat jualan makanan secara bungkus sahaja.

"Dalam pada itu, saya menyarankan agar JPBB Bintulu mengambil pendekatan proaktif dengan menutup sementara semua kawasan rekreasi terutama kawasan pantai yang selalu menjadi tumpuan ramai bagi menghentikan penularan wabak pembunuh ini," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tiong, masih ada orang awam yang berkumpul di kawasan pantai dalam kelompok ramai sekali gus boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus terbabit.

Dalam masa sama katanya, semua sektor sama ada swasta atau kerajaan termasuk perniagaan serta perindustrian harus menggalakkan sekurang-kurangnya 70 peratus kakitangan mereka untuk bekerja dari rumah.

"Langkah sedemikian harus diambil memandangkan penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di Bintulu," tegas beliau.

Tiong pada masa sama turut berharap agar sekolah di bahagian ini ditutup dalam tempoh dua minggu bagi menghentikan jangkitan COVID-19 di sekolah.

Jelasnya, proses pembelajaran dalam talian harus dipraktikkan demi kebaikan semua pihak bagi mengurangkan kadar jangkitan di sekolah.
 

  • oleh
  • Advertisement