Anda di sini

Tiga kawasan di Sarawak dikenal pasti berisiko tinggi dadah

Advertisement
 

 
KUCHING: Tiga kawasan di Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dalam kegiatan berkaitan dadah, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar).

Jelas Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak itu, tiga kawasan tersebut adalah Kampung Tabuan Melayu, Matang masing-masing di Kuching dan Bekenu, Miri.

"Ekoran daripada makluman tersebut, usaha bersepadu dan program tertentu akan dilakukan di tempat-tempat tersebut agar masalah penggunaan dadah dan juga kesedaran masyarakat yang terdapat di sana tentang bahaya dadah akan dapat disebarkan," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tindakan membanteras dadah peringkat negeri di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, walaupun dikenal pasti sebagai kawasan dengan kadar penggunaan dadah tinggi, ia bukan beerti tempat-tempat lain di negeri ini bersih dari najis dadah.

"Kerana kalau kita lihat masalah dadah di Sarawak ini, ia bukannya terhad di kawasan bandar sahaja, maklum balas yang kita dapat daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penyalahgunaan dadah ini menular jauh ke pedalaman di setiap daerah melibatkan setiap lapisan kaum yang ada di negeri ini," dedahnya.

Tambahnya, dari statistik penyalahgunaan dadah setakat Mac tahun ini, AADK merekodkan seramai 1,915 orang kena pengawasan, Jabatan Penjara Sarawak pula seramai 777 orang adalah banduan atas kesalahan dadah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak pula menyaksikan 2,058 orang ditangkap atas kesalahan dadah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak bersetuju agar Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) dicadang ditubuhkan di negeri ini.

Beliau menegaskan, ini kerana Sarawak merekodkan peningkatan jumlah pesalah dadah di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas.

"Pada masa ini Sarawak tidak mempunyai pusat itu yang mana sekarang ini hanya terdapat empat pusat seperti ini iaitu di Simpang Renggam, Machang, Batu Gajah dan Muar.

"Jadi kita mahu Sarawak ada pusat seperti ini supaya mereka yang ditangkap di negeri ini boleh diletakkan di sini dan tidak perlu dihantar ke Semenanjung," tambahnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan pusat dapat mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan PPA di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, usaha memerangi dadah ini memerlukan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan aspek perundangan yang lebih jelas selain pengurusan keselamatan yang lebih cekap.

"Kita perlu tangani bersama masalah penyalahgunaan dadah kerana masalah ini tidak dapat ditangani dalam sekelip mata, ia memerlukan usaha yang halus memerlukan semua agensi termasuk masyarakat dalam bersama-sama menangani masalah ini sebagai masalah kita bersama," ujarnya.

Advertisement