Anda di sini

Sarawak mahu spektrum lebih besar untuk perluas liputan internet

Advertisement
Abang Johari (tiga kiri) bersama Lee (kanan) Dr Sim (dua kiri) dan Yii menunjukkan tanda bagus selepas melekatkan pelekat Bas Pintar di salah sebuah bas awam sempena pelancaran Bandar raya Pintar Miri hari ini.
Abang Johari (tiga kiri) bersama Lee (kanan) Dr Sim (dua kiri) dan Yii menunjukkan tanda bagus selepas melekatkan pelekat bas pintar di sebuah bas awam sempena pelancaran Bandar raya Pintar Miri hari ini.

MIRI: Sarawak kini dalam peringkat perbincangan dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan spektrum lebih besar bagi meningkatkan kelajuan internet di seluruh negeri termasuk luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pada masa kini, spektrum hanya diberikan kepada syarikat telekomunikasi (telco) seperti Digi dan Celcom.

“Namun syarikat telco ini kadang-kadang tidak mahu menyediakan perkhidmatan ke kawasan luar bandar kerana populasi penduduk yang tidak ramai dan permintaan rendah.

“Mereka tidak mahu menyediakan perkhidmatan yang tidak mendatangkan keuntungan. Justeru, kerajaan negeri melihat perlunya kita ada spektrum sendiri untuk membolehkan semua kawasan di negeri ini mempunyai internet,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Bandar Raya Pintar Miri di sebuah hotel, di sini hari ini.

Abang Johari menambah, spektrum yang lebih luas akan memastikan kelajuan internet di negeri ini di tahap yang lancar.

“Sekiranya ingin memiliki kelajuan internet 5G, kita mesti mempunyai kelajuan sekurang-kurangnya 700 megahertz (MHz).

“Dengan kelajuan ini, barulah kita dapat merealisasikan inisiatif digital dan mengubah Sarawak menjadi negeri pintar,” katanya.

Beliau menambah, perbincangan bagi mendapatkan spektrum ini sedang dilaksanakan di bawah agensi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Katanya, kerajaan negeri akan memberi subsidi bagi melaksanakan internet 5G dilaksanakan di kawasan luar bandar.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapan memberitahu sistem bandar raya pintar yang menjadikan Miri sebagai model pertama akan diperluaskan ke seluruh bandar di negeri ini.

Katanya, penggunaan sistem ini yang dikawal oleh pusat pengumpulan data di Kuching akan memudahkan pengumpulan data dari semua bandar di seluruh negeri.

“Ini yang berlaku di Miri, mereka sudah ada perkhidmatan dan aplikasi digital seperti papan tanda, bas pintar, dan bandar raya selamat yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Miri sekali gus memudahkan warga Miri kerana semuanya dihujung jari.

“Kita jadikan Miri sebagai eksperimen dan jika pendekatan ini sesuai, ia akan diperluaskan ke Kuching, Bintulu, Sibu dan kawasan lain supaya kita jadi Sarawak Pintar.

Mengenai pelancaran Bandar raya Pintar Miri, Abang Johari berkata, ia dilaksanakan secara beperingkat sejak 2020.

“Berdasarkan maklum balas daripada MBM, saya dapati warga Miri amat menyambut baik sistem ini.

“Hampir semua perkhidmatan termasuk bangunan bandar raya yang baharu turut dilengkapi teknologi pintar. Orang Miri pintar belaka,” katanya.

Abang Johari yakin konsep ini akan menjadikan Miri sebagai model bandar raya pintar yang berjaya di Sarawak

Beliau menambah, transformasi bandar sebagai bandar pintar adalah satu inisiatif kerajaan untuk mengangkat ekonomi digital.

Tambahnya, inisiatif bandar pintar juga akan membantu kementerian yang relevan untuk memberikan perkhidmatan yang cekap kepada rakyat.

“Sehubungan itu, semua bandar utama harus berubah dengan menggunakan pendekatan digital dengan memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada masyarakat.”

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cek geran berjumlah RM1 juta masing-masing kepada Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah dan Miri Tua Pek Kong.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian; Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Gerawat Gala; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion serta dif-dif kenamaan lain.


 

  • oleh
  • Advertisement