Anda di sini

Pulau Mantanani, antara hasrat dan harapan penduduknya

Advertisement
ADRIAN (atas), SONY (kiri) dan ROHAIZAH (kanan).
ADRIAN (atas), SONY (kiri) dan ROHAIZAH (kanan).

Mungkin kehidupan mereka jauh dari kemajuan dan kemodenan bandar. Mungin juga hasrat untuk mengecapi taraf hidup yang lebih selesa itu sentiasa menjadi idaman mereka.

Namun, mungkin juga keadaan yang dianggap serba kekurangan itu bukanlah satu bebanan berat buat mereka. Boleh jadi ia juga satu ketenangan dan keselesaan yang sukar diubah.

Begitulah kemungkinan tanggapan yang boleh diungkap bagi merumuskan corak hidup penduduk di Pulau Mantanani Kota Belud.

Mungkin siang mereka tidak berbekal elektrik, namun suasana malam mereka tidaklah suram kerana masih ada waktu mereka dapat menikmati kemudahan elektrik biarpun hanya 12 jam tempoh yang ada.

Mungkin setakat ini, itu sudah cukup memadai untuk memenuhkan cas bateri telefon dan 'power bank' ataupun kegunaan peralatan elektronik yang lain.

Kesempatan duduk bersembang bersama anak jati Kampung Padang Pulau Mantanani baru-baru ini sedikit sebanyak merungkai beberapa persoalan mengenai jalan kehidupan penduduk di Pulau Mantanani.

Rohaizah Gimas, 16, pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang Kota Belud adalah anak bongsu dalam keluarganya.

Ketika ditanya adakah dirinya memiliki hasrat untuk keluar dari kepulauan itu dan meneroka kehidupan yang lebih mencabar di luar sana, ringkas jawabnya 'iya'.

Menurutnya, jika ada peluang selepas tamat sekolah nanti, dirinya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di universiti.

Katanya, kalau berjaya dalam pelajaran, mungkin ia boleh membantu mengubah taraf hidup keluarga. Mungkin tidak semewah mana, asalkan dapat beri kesenangan buat kedua ibu bapa tersayang.

"Bapa saya nelayan, ibu saya surirumah saja dan abang saya sudah lama bekerja di Semenanjung.

"Saya suka dengan suasana kehidupan di sini (Pulau Mantanani). Tapi kalau ada peluang, saya juga mahu keluar dari sini untuk sambung pelajaran ke universiti.

"Ataupun kalau ada peluang pekerjaan, saya mahu menjadi seorang anggota polis sebab saya memang minat dengan kerjaya sebagai polis," katanya.

Perkongsian itu saja sudah cukup memberi gambaran betapa besarnya keinginan gadis remaja ini untuk mengubah taraf hidup keluarganya.

Siapa tahu mungkin satu hari nanti, Rohaizah mampu merealisasikan impiannya itu dan menjadi penyumbang pendapatan yang lebih besar kepada keluarganya.

 Suasana pemandangan matahari terbenam yang indah di Pulau Mantanani.
PETANG: Suasana pemandangan matahari terbenam yang indah di Pulau Mantanani.

Berlainan kisahnya dengan Sony Ujali, 43, seorang lagi anak jati Pulau Mantanani yang cukup bangga dapat bekerja di tanah kelahiran sendiri demi menyara keluarganya.

Bertugas sebagai pegawal keselamatan di salah sebuah pusat peranginan terkenal di pulau itu iaitu Sutera@Mantanani Island Resort & Spa, Sony amat bersyukur atas peluang kerjaya yang diterimanya sejak dua tahun lepas.

Katanya, pembukaan resort berkenaan banyak memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Pulau Mantanani yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.

"Bila ditawarkan peluang untuk bekerja di sini saya amat senang hati dan bersyukur kerana anak-anak pulau ini tidak perlu pergi jauh untuk mencari kerja.

"Selain bekerja di tempat sendiri, kami juga dapat membantu memperkenalkan keindahan alam semula jadi Pulau Mantanani dengan pantai yang cantik kepada pengunjung yang datang ke sini.

"Walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang susah hati kerana risau tiada kerja. Namun, kami di sini masih bernasib baik kerana dikekalkan untuk meneruskan khidmat," jelasnya.

Menyentuh mengenai kehidupan di pulau itu, Sony turut berkogsi mengenai dirinya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai nelayan sebelum pembukaan beberapa resort di pulau itu.

"Bagi penduduk asal di pulau ini, kami sudah biasa dengan keadaan kehidupan di sini biarpun masih banyak kekurangan kemudahan.

"Namun apa yang menjadi keperluan utama kami di sini adalah kemudahan hospital atau klinik. Berdasarkan pengalaman lepas, banyak kes-kes kecemasan seperti wanita bersalin tidak sempat sampai ke hospital.

"Sekiranya di sini ada perkhidmatan kesihatan, semua penduduk pasti akan gembira dan tidak lagi perlu risau jika berlaku kes kecemasan yang memerlukan rawatan perubatan segera.

"Begitu juga dengan bekalan elektrik, kalau boleh kami juga mahu menikmati kemudahan itu secara berterusan tanpa had masa seperti sekarang," katanya.

Tentunya hasrat Sony itu turut menjadi impian dan harapan semua penduduk Pulau Mantanani untuk kehidupan yang lebih baik dan selesa.

 Sutera@Mantanani membuka peluang untuk anak-anak Pulau Mantanani menimba pengalaman kerja.
PEKERJA: Sutera@Mantanani membuka peluang untuk anak-anak Pulau Mantanani menimba pengalaman kerja.

Dalam pada itu, Pengurus Besar The Magellan Sutera Resort Adrian De Rozario iaitu pengurus yang bertanggungjawab di Sutera@Mantanani Island Resort & Spa berkata, pihaknya berbangga kerana diberi kepercayaan untuk mengendalikan gelembung perjalanan (travel bubble) dalam menawarkan aktiviti pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, pembukaan Sutera@Mantanani yang menyediakan pendekatan gelembung perjalanan sudah tentu akan menarik ramai pengunjung untuk melancong ke Pulau Mantanani.

Sehubungan itu, pihaknya memilih untuk mengambil warga setempat sebagai tenaga kerja kerana ia juga dapat membantu penduduk pulau itu menjana pendapatan terutama dalam tempoh PKP dilaksanakan.

"Semua orang menunggu peluang keemasan untuk melancong selepas dibenarkan rentas daerah mengikut zon dan sambutan yang kami terima sangat memberangsangkan.

"Namun  pada masa sama, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sentiasa dijaga bukan sahaja oleh pihak Sutera@Mantanani tetapi juga kepada para pengunjung yang datang," jelasnya.

 Anak-anak Pulau Mantanani riang bermain memeriahkan suasana petang di pulau itu.
RIANG: Anak-anak Pulau Mantanani riang bermain memeriahkan suasana petang di pulau itu.

Pada 31 Mac lepas, Sutera@Mantanani melancarkan penambahan 40 chalet premium yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafri Ariffin.

Tawaran baharu itu bukan sahaja seiring dengan pelaksanaan gelembung perjalanan ke Pulau Mantanani, malah ia juga bakal merancakkan semula industri pelancongan di negeri ini.
 

  • oleh
  • Advertisement