Anda di sini

PKPD Kampung Serpan Laut, Asajaya tamat hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini memutuskan untuk menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serpan Laut, Asajaya.

JPBNS menerusi satu kenyataan, berkata arahan menamatkan PKPD itu dibuat berikutan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu. 

"Di samping itu, tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut.

"Jadi JPBNS memutuskan untuk menamatkan PKPD di kampung terbabit," ujarnya.

Sehubungan itu, Jawatankuasa terbabit mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan penduduk kampung atas kerjasama menjayakan PKPD ini.

Terdahulu, JPBNS dalam kenyataan pada 7 April berkata, PKPD Kampung Serpan Laut, Asajaya dilaksanakan mulai 8 April hingga 21 April 2020.

Arahan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi ke atas lokaliti yang berlaku kenaikan kes secara mendadak.

Dalam pada itu, JPBNS berkata, hari ini daerah Sri Aman telah kembali ke status jingga daripada status merah.

Perubahan itu berlaku setelah merekodkan hanya sejumlah 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

"Ini menjadikan jumlah daerah berstatus jingga telah meningkat kepada lima daerah termasuk Saratok, Sebauh, Kanowit dan Marudi.

"Manakala jumlah daerah berstatus merah menurun kepada 14 daerah iaitu Subis, Matu, Mukah, Sarikei, Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu," katanya.

Sementara 16 daerah lagi iaitu Dalat, Daro, Asajaya, Lawas, Bukit Mabong, Belaga, Betong, Lubok Antu, Tatau, Tanjung Manis, Song, Pakan, Tebedu, Bau, Limbang dan Selangau kekal berstatus kuning.

“Lima daerah iaitu Telang Usan, Lundu, Pusa, Simunjan dan Kabong kekal berstatus hijau,” katanya.

Advertisement