Anda di sini

Petugas barisan hadapan bersyukur terima vaksin

Advertisement
 Petugas membuat beberapa pengesahan sebelum suntikan vaksin diberikan kepada penerima.
PENGESAHAN: Petugas membuat beberapa pengesahan sebelum suntikan vaksin diberikan kepada penerima.

TATAU: Penerima-penerima vaksin COVID-19 fasa satu iaitu petugas barisan hadapan di Tatau amat bersyukur dan gembira berikutan selesai disuntik vaksin Pfizer BioNTech dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 di Dewan Sukan Tatau semalam.

Program suntikan vaksin itu bermula jam 2 hingga 5 petang membabitkan 72 petugas barisan hadapan merangkumi 18 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selebihnya kalangan pegawai serta anggota bomba, polis, Pejabat Daerah, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) termasuk Jabatan Pendidikan.

Kerja-kerja vaksinasi turut dibantu sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berjalan dengan lancar.

Suntikan dos pertama vaksin itu diadakan pada 20 Mac lalu.

Seorang penerima vaksin, Mendra Girin dari Klinik Kesihatan Kakus menyifat vaksin itu sebagai selamat tanpa ada kesan-kesan sampingan sekali gus berharap rakyat di negara ini tidak berasa takut menerima suntikan vaksin.

“Tanggungjawab kita semua adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19,” katanya semasa ditemui di sini semalam.

Chundi Jipon dari Pejabat Daerah Tatau turut senada yang mana dengan penerima vaksin itu memberi keyakinan kepada penerima vaksin seterusnya.

“Saya berharap dapat memberi keyakinan kepada rakan-rakan yang menerima suntikan vaksin.

“Penerimaan vaksin ini adalah tanda sokongan kepada usaha-usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak COVID-19 dalam komuniti,” jelasnya.

Selain itu Patricia Aren Jok (Klinik Kesihatan Sangan), Loh Yii Lin (SJK Chung Hua Tatau), Konstabel Adriana Petrus (Ibu Pejabat Polis Daerah Tatau), Donnie Boy Donlis (Balai Bomba dan Penyelamat Tatau) dan Jati Ngabong (SK Penyarai) turut menyatakan pandangan sama mengenai kebaikan vaksin diterima mereka.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh Samri Suhaili yang menerima suntikan vaksin dos pertama turut menyatakan keyakinan tidak mengalami kesan sampingan selepas 15 minit disuntik dengan vaksin.

Justeru, kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Sarawak serta KKM kerana berusaha memberi vaksinasi kepada semua rakyat.

“Saya menyeru warga pendidik mendaftar segera dalam MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Menurutnya, bagi yang belum mendapat suntikan vaksin itu diharap bersabar kerana penghantaran vaksin memerlukan tempoh perjalanan teratur dan jadual tertentu untuk setiap orang disuntik dengan vaksin.

“Kepada seluruh warga Malaysia daftar segera dan jangan takut divaksin kerana vaksin itu adalah antara yang terbaik disediakan kerajaan serta dipilih oleh pakar-pakar perubatan,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II BBP Tatau Nelson Pang Siaw Ming turut menyatakan rasa syukur dan lega kerana disenaraikan dalam kumpulan pertama menerima suntikan vaksin untuk dos pertama.

Beliau mengakui teruja apabila dimaklumkan tersenarai dalam kumpulan penerima suntikan vaksin itu serta berharap program itu dapat memberi keyakinan kepada masyarakat lain menerima suntikan vaksin.

“Daftarlah segera untuk menerima suntikan vaksin. Sayangi dan lindungi diri, keluarga serta masyarakat sekeliling kita,” katanya menerima suntikan vaksin jenis Sinovac.

  • oleh
  • Advertisement