Anda di sini

Pengurangan pengeluaran minyak masak dibungkus semula punca minyak masak satu kilogram kurang

Advertisement
 Gambar tangkap layar Chong ketika melakukan siaran langsung di Facebook semalam.
BERSIARAN: Gambar tangkap layar Chong ketika melakukan siaran langsung di Facebook semalam.

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa pengurangan pengeluaran minyak masak yang dibungkus semula oleh beberapa syarikat dipilih menyebabkan bekalan minyak masak satu kilogram bersubsidi berkurangan di pasaran.

Menurutnya syarikat-syarikat berkenaan telah menerima sudsidi kerajaan bagi tujuan berkenaan.

Beliau menambah, pada tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan RM400 juta bagi Program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan dapat membeli minyak masak bersubdisi pada harga RM2.50 sekilogram.

“Setiap tahun, kerajaan menyediakan peruntukan bagi mengekalkan harga minyak masak bersubsidi RM2.50 (bagi setiap 1kg). Peruntukan untuk tahun ini RM400 juta dan RM400 juta untuk tahun 2020.

“Ketika PH (Pakatan Harapan) menjadi kerajaan, RM720 juta diperuntukkan bagi tahun 2018 dan RM600 juta pada 2019.

“Semasa itu, kita memastikan semua jumlah itu untuk pembungkusan minyak masak bersubsidi tetapi kebelakangan ini, saya mendapati kekurangan sangat ketara bekalan minyak masak ini di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa bersiaran secara langsung menerusi akaun Facebook miliknya di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Chong yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendakwa, segelintir syarikat yang membungkus minyak masak tersebut melakukan tuntutan subsidi berlebihan atau mengurangkan pengeluaran.

Sebagai contoh ujarnya, syarikat membungkus semula yang sepatutnya mengeluarkan 1,500kg atau 1,500 peket minyak masak, hanya mengeluarkan 1,000kg atau 1,000 paket tetapi masih menuntut jumlah subsidi untuk 1,500kg.

“Semasa kerajaan PH, sangat jarang minyak masak 1kg tidak ada di pasaran tetapi selepas PH tidak lagi menjadi kerajaan, hampir setiap masa sukar untuk mendapatkannya.

“Kenapa? Saya percaya ada yang tidak betul berlaku dalam sistem. Oleh sebab itulah saya membuat siaran langsung dalam Facebook ini bagi mengingatkan kerajaan (mengenai perkara ini”, katanya.

Ahli Parlimen Stampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa itu juga meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri melakukan penguatkuasaan ketat bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi stabil.

Menurut Chong semasa menjadi timbalan menteri KPDNHEP, pihaknya menyimpan rekod pengemas balik jumlah yang disampaikan kepada peruncit dan peruncit kemudiannya mesti mempunyai rekod agar kementerian dapat melakukan pemeriksaan.

Katanya dengan penguatkuasaan yang ketat, kerajaan dapat memastikan peruntukan itu dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.

“(Menteri KPDNHEP sekarang) Dato Sri Alexandar Nanta Linggi adalah orang Sarawak. Dia boleh melakukan jauh lebih baik daripada apa yang saya lakukan sebagai timbalan menteri kerana dia adalah menteri penuh.

“Saya akan bercakap dengan Alexandar Nanta dan memintanya untuk mempermudahkan pengeluar F&B (makanan dan minuman) di Sarawak memohon kebenaran mengimport gula,” katanya.

Advertisement