Anda di sini

Pemuda dicekup bersama syabu di Kota Samarahan 

Advertisement
Barang kes dipercayai syabu dirampas.
Barang kes dipercayai syabu dirampas.

KUCHING: Seorang pemuda diberkas bersama 40 tiub dadah disyaki syabu di tepi Jalan Kampung Empila, Kota Samarahan pada Ahad. 

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan sekitar jam 3 petang oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Samarahan. 

"Bertindak atas maklumat risikan, BSJND Kota Samarahan telah menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Kampung Empila Kota Samarahan. 

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai empat peket plastik lutsinar setiap satu peket berisi 10 keratan tiub penyedut air lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu, jumlah keseluruhan 40 keratan tiub dengan anggaran seberat 7.85 gram di dalam beg kecil yang dipakai oleh suspek semasa tangkapan dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Berikutan itu, tegasnya, suspek ditangkap bersama barang kes dirampas. 

Jelas Sudirman kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

"Hasil siasatan awal, dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan untuk kegunaan sendiri suspek. 

"Siasatan masih giat dijalankan untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mengesan individu lain yang terlibat," ujarnya. 

Dalam pada itu, katanya, hasil saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ekoran itu suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Perintah reman akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Majistret Kota Samarahan," tambahnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement