Anda di sini

Leeds United tundukkan Man City 2-1 di Stadium Etihad

Advertisement
 Babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Man City dan Leeds Utd di Stadium Etihad. — Gambar AFP
TUMPUAN: Babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Man City dan Leeds Utd di Stadium Etihad. — Gambar AFP

LONDON: Kemaraan Manchester City untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tersentak seketika apabila tewas kepada Leeds United 1-2 sementara Liverpool menamatkan enam kekalahan berturut-turut di Anfield apabila Trent Alexander-Arnold menjaringkan gol kemenangan lewat untuk menewaskan Aston Villa 2-1 pada Sabtu.

Chelsea kembali ke tangga keempat liga, di hadapan Liverpool dalam saingan untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan selepas membelasah Crystal Palace 4-1 di Selhurst Park.

City membayangkan kejuaraan liga yang ketiga dalam empat musim tetapi gol kemenangan minit akhir Stuart Dallas meletakkan mereka masih memerlukan 11 mata dari baki enam perlawanan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan.

Kekalahan liga yang keempat musim ini buat City itu berlaku selepas pengurusnya, Pep Guardiola, melakukan tujuh pertukaran dari skuad yang menewaskan Borussia Dortmund pada perlawanan suku akhir pertama pertengahan minggu.

Dengan Kevin De Bruyne bermula di bangku simpanan pada perlawanan di Stadium Etihad, City tidak berada di tahap terbaik mereka dan menerima padah oleh pasukan bersemangat Leeds, yang naik ke tangga  kesembilan liga dengan  kemenangan bergaya itu pada musim pertama mereka dalam Liga Perdana selepas 16 tahun menyepi.

“Kami tidak mencipta cukup peluang. Ia adalah sebahagian dari sukan ini,” kata Guardiola.

“Apabila mereka bertahan dengan cara yang mereka lakukan, anda harus menghalang mereka berlari dan kami tidak melakukannya.”

Leeds membuka jaringan tiga minit sebelum rehat apabila Dallas menerima umpanan Patrick Bamford di hujung kotak penalti sebelum melakukan rembatan yang menewaskan penjaga gol City, Ederson.

City mengikat kedudukan pada minit ke-76 apabila Bernardo Silva mengumpan bola kepada Ferran Torres untuk menewaskan penjaga gol Illan Meslier.

Tetapi pada minit pertama masa kecederaan, City tersentak dengan serangan pantas Leeds apabila Dallas mengejar umpanan Ezgjan Alioski sebelum menewaskan Ederson.

Liverpool terdesak untuk menyelamatkan musim bermasalah mereka dengan layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan menerusi kedudukan dalam empat teratas liga.

Anak buah Jurgen Klopp itu belum menang di Anfield sejak bulan Disember tetapi Liverpool berjaya menebus kekalahan memalukan 2-7 kepada Villa pada bulan Oktober apabila Alexander-Arnold menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan.

Penyerang Villa, Ollie Watkins menjaringkan hatrik pada perlawanan bulan Oktober lepas dan beliau sekali lagi menjaringkan gol pada Sabtu selepas 43 minit dengan satu cubaan yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Liverpool dinafikan gol penyamaan tidak lama selepas itu apabila rembatan jarak dekat Roberto Firmino tidak dibenarkan panel video bantuan pengadil (VAR) selepas Diogo Jota terlebih dahulu ofsaid ketika menerima bola sebelum mengumpan kepada Firmino.

Mohamed Salah mengikat kedudukan pada minit ke-57 menerusi tandukan jarak dekat selepas rembatan Andrew Robertson hanya mampu ditepis oleh penjaga gol Emiliano Martinez.

Trezeguet tidak bernasib baik untuk meletakkan Villa kembali di hadapan apabila cubaannya terkena palang sebelum Alexander-Arnold memastikan kemenangan Liverpool dengan gol minit akhir dengan rembatan dari hujung kotak penalti untuk melonjak ke tangga keempat liga.

Chelsea merampas kembali kedudukan di tangga keempat apabila mendahului 4-0 pada masa rehat di Palace.

Kai Havertz menjaringkan gol liga kedua beliau sebelum Christian Pulisic menambah jaringan.

Tandukan kencang Kurt Zouma dari tendangan percuma Mason Mount memastikan Chelsea mendahului 3-0 pada masa rehat sebelum meraih kemenangan ke-12 dari 16 perlawanan sejak Thomas Tuchel menggantikan Frank Lampard sebagai pengurus.

“Separuh masa pertama cukup hebat, kami bersemangat dan agresif,” kata Tuchel. — AFP

Advertisement