Anda di sini

Kerajaan teliti cadangan kerjasama dengan pihak swasta bangun industri tuna

Advertisement
 

GEORGE TOWN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan kerjasama antara kerajaan dan swasta serta menaik taraf pelabuhan pendaratan tuna sebagai usaha membangunkan industri tuna negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (gambar) berkata kerjasama antara kerajaan dan swasta amat penting bagi memastikan industri tuna di Malaysia dapat dimanfaatkan oleh semua pihak, selain menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.

“Manfaat yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan ikan tuna tetapi pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain.

“Industri perikanan tuna di Malaysia sedang berkembang dan membangun sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran ‘Ibu Wira 1’ kapal tangkapan tuna Zon C3, pembawa bendera Malaysia, di sini, hari ini.

Ronald berkata, pada 2016, Jabatan Perikanan Malaysia telah menyenaraikan dua pelabuhan di Malaysia sebagai pelabuhan pendaratan tuna bagi kapal yang beroperasi di Lautan Hindi, iaitu Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Langkawi.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pelabuhan pendaratan tuna tersebut kurang kompetitif berbanding yang terdapat di negara lain dan kerajaan sedang meneliti keperluan industri dari segi fasiliti serta mewujudkan industri hiliran.

Justeru, dalam hal ini, cadangan pembangunan pelabuhan pendaratan tuna khasnya di Jeti Batu Maung adalah selari dengan hasrat MAFI untuk meningkatkan kemasukan kapal tuna ke pelabuhan dan sekali gus melonjakkan hasil pendaratan tuna di Malaysia, katanya.

“Sehingga 2020, sebanyak 19 kapal perikanan ikan tuna dan sebuah kapal pengangkut tuna telah dilesenkan dan beroperasi di Lautan Hindi dengan hasil tangkapan sebanyak 3,005.13 tan metrik dengan nilai anggaran RM40 juta.

“Daripada jumlah tersebut, pendaratan tuna di Pelabuhan Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah pendaratan sebanyak 1,943.84 tan metrik dengan nilai anggaran RM28 juta,” katanya. - Bernama 

Advertisement