Anda di sini

Kadar zakat fitrah Sarawak RM7, sasar kutipan RM5.4 juta

Advertisement
Abang Mohd Shibli  (dua kiri) merakamkan kenangan selepas sidang media Kadar Zakat Fitrah bagi Sarawak 2021
Abang Mohd Shibli (dua kiri) merakamkan kenangan selepas sidang media Kadar Zakat Fitrah bagi Sarawak 2021.

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM5.4 juta tahun ini.

Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata jumlah itu hampir sama dengan kutipan tahun lalu berikutan kadar zakat fitrah di Sarawak kekal RM7 pada Ramadan kali ini.

“Tahun ini, kadar zakat fitrah bagi negeri Sarawak kekal sebanyak RM7 seorang dan umat Islam boleh membuat pembayarannya bermula 1 Ramadan ini.

“Kita menyasarkan hampir 800,000 umat Islam di Sarawak akan membayar zakat fitrah dengan anggaran kutipan sebanyak RM5.4 juta,” katanya pada sidang media Kadar Zakat Fitrah bagi Sarawak 2021 di ibu pejabat TBS, Batu Kawa di sini, hari ini.

Abang Mohd Shibli berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan kesedaran umat Islam berhubung kewajipan membayar zakat kini semakin meningkat sehingga mencapai 97 peratus.

“Sehubungan itu, saya menyeru umat Islam seluruh Sarawak untuk menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah ini sebagai melengkapkan rukun Islam keempat iaitu mengeluarkan zakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan dengan pelbagai saluran dan antaranya melalui secara dalam talian yang boleh dibuat menerusi Baitulmal Kamek di portal https://pelanggan.tbs.org.my.

“Ia bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah dalam tempoh kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagaimanapun, bagi yang masih mahu membuat pembayaran menerusi amil, TBS melantik seramai 790 amil di seluruh negeri,” katanya.

Menurutnya, amil yang dilantik menyediakan perkhidmatan di masjid dan surau serta kediaman masing-masing.

"Pembayaran menerusi amil boleh dibuat pada setiap solat waktu dan sebelum atau selepas solat tarawih," katanya.

Selain zakat fitrah, beliau turut menyeru masyarakat Islam membuat bayaran zakat harta mereka di setiap cawangan atau melalui portal TBS.

“Untuk tahun ini juga, kita mensasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM90 juta bagi membolehkan mereka membantu golongan asnaf,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, TBS telah menyediakan aplikasi Jejak Asnaf 3.0 bagi memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat mengenai golongan asnaf yang layak menerima bantuan dan melaporkan kepada mereka.

“Melalui aplikasi itu, orang ramai hanya perlu mengambil gambar keluarga fakir miskin yang terlibat serta menjawab beberapa soalan dan seterusnya klik butang hantar. Sebaik sahaja menerima maklumat itu, TBS akan turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga terbabit,” katanya.

Tambahnya, aplikasi Jejak Asnaf Versi 3.0 yang boleh dimuat turun menerusi Appstore atau Playstore.

  • oleh
  • Advertisement