Anda di sini

Istilah ‘wilayah’ tidak bermakna jika status Sarawak tidak dikembalikan

Advertisement
(Kiri) ELIAS dan WELLIE
(Kiri) ELIAS dan WELLIE

MIRI: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diteliti dan diperjelaskan dengan terperinci dan bukan sekadar luaran sahaja agar pemahamannya dari sudut hak dan undang-undang mampu difahami rakyat, sebelum Sarawak boleh mengguna pakai istilah ‘wilayah’.

Perkataan ‘wilayah’ yang diberikan kepada Sarawak dan Sabah tidak memberi apa-apa implikasi kepada status sebenar jika hak kedua-dua negeri itu seperti yang termaktub dalam MA63, tidak dikembalikan.

Demikian menurut Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dalam kenyataannya di sini, semalam.

“Ia seperti memberi nama baharu kepada kita (Sabah/Sarawak) sebagai wilayah tetapi status kita masih sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia,” jelas Penasihat merangkap Pengasas DTTAS Wellie Henry Majang dan Presiden DTTAS Elias Lipi Mat dalam kenyataan bersama itu.

“Kita umum Sabah/Sarawak sebuah wilayah, tetapi roh dan inti pati sesebuah wilayah itu tidak ada. Apakah yang akan berubah dengan pengisytiharan ini? Apakah status kita dalam Persekutuan?”

“Dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai ‘negeri’ bersama negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu atau Perlis, sedangkan hakikatnya kita bukan setaraf dengan mereka, kerana kita membentuk Malaysia,” kata Wellie.

Oleh yang demikian, Wellie berkata satu-satunya cara untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ pembentukan Malaysia adalah melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Status asal harus dipulihkan kembali kepada negeri ini seperti yang dipersetujui pada 1963.

“Status Sabah dan Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ Persekutuan Malaysia perlu dipulihkan kerana penurunan statusnya kepada sebuah ‘negeri’ yang terjadi pada 1976 tidak harus berlaku.

“Pindaan ini memenuhi hasrat dan tujuan iaitu memberi pengiktirafan bahawa Sabah dan Sarawak bukan hanya negeri setara dengan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi memulihkan statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” ujar Elias.

Oleh yang demikian, untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak sebagai wilayah seperti yang termaktub dalam MA63, akan memulihkan kedudukan kedua-duanya yang mempunyai hak sama rata dengan asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah, iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, jelasnya.

Kedua-dua presiden dan penasihat DTTAS itu dalam kenyataan mereka berkata salah satu tuntutan penting yang menjadi asas rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia adalah tuntutan menjamin hak istimewa Orang Asal Sabah dan Sarawak.

“Tuntutan penting itu termaktub dalam perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: “Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istemewa Orang Asal Sabah dan Sarawak.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sekarang untuk memastikan keluhuran perlembagaan kembali dijunjung dan kedaulatan undang-undang terbina kukuh,” katanya.

Sehubungan itu DTTAS menyerahkan kebijaksanaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan sebaik mungkin penggunaan istilah ‘wilayah’ bagi negeri Sarawak.

“Ia mempunyai impak yang besar kepada rakyat negeri ini, jika tidak perhalusi dan diperjelaskan dengan baik kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

“Perlu ingat bahawa rakyat negeri ini mempunyai hak untuk bersuara dan mereka perlu diperjelaskan dengan telus mengenai istilah ‘wilayah’ ini agar tidak timbul kekeliruan dan kerajaan perlu menyatakan pendirian mereka kelak, mengapa Sarawak perlu atau tidak menggunakan istilah ini,” kata mereka mewakili DTTAS dalam menyatakan pandangan mereka.

Pada Sabtu lalu, Abang Johari dalam satu majlis di Kuching, berkata penggunaan istilah wilayah bagi Sarawak bergantung kepada hasil rundingan MA63 ketika ini.

Katanya, penggunaan istilah tersebut adalah cadangan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diterima oleh Sarawak.

Tetapi sama ada ia akan diguna pakai oleh Sarawak atau tidak bergantung kepada hasil rundingan MA63 nanti, jelas Abang Johari.

Advertisement