Anda di sini

Caj air kosong melampau, KPDNHEP Perak keluar 10 notis

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mengeluarkan sebanyak 10 notis bertulis terhadap peniaga premis makanan dan minuman susulan rungutan orang ramai berhubung caj air kosong yang tinggi. 

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata notis itu dikeluarkan susulan Op Catut 8.0 (air kosong) yang sedang dijalankan terhadap kedai makanan di seluruh negeri yang bermula 7 hingga 15 April ini.

“Peniaga yang mendapat notis, akan diberikan masa dua hingga lima hari (waktu bekerja) untuk memberikan dokumen yang diperlukan KPDNHEP sebelum tindakan lanjut akan diambil di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai pemantauan harga barangan keperluan asas semasa bulan Ramadan di Pasar Besar Ipoh hari ini.

Jelasnya, ketika ini isu caj melampau air kosong terbabit masih lagi dalam pemerhatian pihaknya sebelum tindakan yang lebih tegas diambil mengikut proses undang-undang apabila siasatan selesai dijalankan.

Sebelum ini dilapor, KPDNHEP mengeluarkan 84 notis kepada peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara kerana mengenakan caj air kosong melebihi RM1 segelas dan Kelantan merekodkan kes paling tinggi.

Terdahulu, Saifullizan meninjau keperluan barangan asas bagi keperluan Ramadan dan Syawal agar ia mencukupi dan mudah diperoleh selain tidak wujud isu kenaikan harga barang selain menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik. - Bernama

Advertisement