Anda di sini

Bayern Munich terikat 1-1 dengan Union

Advertisement
 Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Bundesliga di antara Bayern dan Union di Munich. — Gambar AFP
BERTEMBUNG DI UDARA: Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Bundesliga di antara Bayern dan Union di Munich. — Gambar AFP

BERLIN: Bayern Munich diikat 1-1 di tempat sendiri oleh Union Berlin dalam aksi Bundesliga Jerman pada Sabtu, tiga hari sebelum perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Paris Saint Germain (PSG).

Pemain remaja, Jamal Musiala melepasi tiga pemain pertahanan untuk meletakkan Bayern di hadapan pada separuh masa pertama di Allianz Arena tetapi Marcus Ingvarsten mengikat kedudukan empat minit sebelum tamat permainan.

Di Paris pada Selasa ini, Bayern, juara bertahan, harus bangkit dari kekalahan 2-3 pada perlawanan pertama untuk memburu tempat ke separuh akhir dan mereka memulakan perlawanan menentang Union pada Sabtu dengan pemain simpanan, Tiago Dantas, yang dipinjam dari Benfica dan Josip Stanisic.

Keputusan seri ini mengurangkan kelebihan mata Bayern di tangga teratas liga kepada hanya lima mata berbanding pasukan di tangga kedua, RB Leipzig, yang membelasah Werder Bremen 4-1 di tempat lawan.

Leipzig mendahului 3-0 menerusi gol pembukaan Dani Olmo dan dua gol Aleander Sorloth.

Milot Rashica merapatkan kedudukan buat Bremen tetapi Marcel Sabitzer menjadikan kedudukan 4-1 pada pertengahan separuh masa kedua.

Pada perlawanan lain, Eintracht Frankfurt semakin menghampiri kelayakan ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1960 apabila menewaskan Wolfsburg 4-3, membolehkan Frankfurt kini berkelebihan tujuh mata di tangga keempat selepas pasukan di tangga kelima, Borussia Dortmund, menang 3-2 di Stuttgart.

Borussia Moenchengladbach seri 2-2 dengan Hertha Berlin walaupun bermain 77 minit dengan kurang seorang pemain selepas penjaga golnya, Yann Sommer, dilayangkan kad merah pada awal permainan ekoran kekasaran ke atas Jhon Cordoba. — AFP

Advertisement