Anda di sini

APMM aktifkan operasi cari kru bot nelayan jatuh laut

Advertisement
 

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan Igan, Mukah berikutan laporan kejadian seorang kru bot nelayan yang disyaki jatuh laut pada Ahad.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata pihaknya menerima maklumat daripada Balai Polis Ulu Lanang menyatakan seorang kru bot nelayan tempatan dipercayai jatuh laut pada jarak lebih kurang 19 batu nautika dari Kuala Igan.

"Rakan mangsa telah menelefon majikan menyatakan mangsa dikhuatiri telah jatuh dari bot dan menyedari mangsa hilang serta tiada di atas bot pada jam 8.00 pagi (Ahad)," katanya dalam kenyataan. 

Jelasnya, mangsa dikenali sebagai Azrie Shafian Floren, 28, warga tempatan dikatakan kali terakhir memakai baju warna biru dan berseluar pendek hitam. 

"Setakat jam 7.30 malam Ahad, tiada sebarang petunjuk ditemui dan pencarian memfokuskan di sekitar posisi terakhir mangsa dipercayai jatuh laut," tambahnya. 

Sehubungan itu, tegas beliau, APMM menggesa komuniti maritim agar membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk. 

"Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik," ujarnya. 

Dalam pada itu, APMM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544.

Advertisement