Anda di sini

AC Milan benam Parma 3-1 ketika Ibra dibuang padang

Advertisement
 Aksi perlawanan Serie A Itali di antara Parma dan AC Milan yang berlangsung di Stadium Ennio-Tardini di Parma. — Gambar AFP
TENTANGAN LASAK: Aksi perlawanan Serie A Itali di antara Parma dan AC Milan yang berlangsung di Stadium Ennio-Tardini di Parma. — Gambar AFP

MILAN: Zlatan Ibrahimovic mengumpan dua gol dalam separuh masa pertama sebelum dibuang padang dalam separuh masa kedua ketika AC Milan menewaskan Parma 3-1 pada Sabtu, sekali gus meningkatkan peluang memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Ibrahimovic, 39, dilayangkan kad merah serta-merta kerana mempertikai keputusan pengadil secara melampau pada perlawanan di Stadio Ennio Tradini ketika pasukannya mendahului 2-0.

Riccardo Gagliolo merapatkan kedudukan untuk Parma beberapa minit selepas Milan bermain dengan 10 pemain tetapi Milan berjaya bertahan walaupun beberapa asakan lewat sebelum pemain gantian, Rafael Leao menjaringkan gol ketiga pada minit kecederaan.

Milan, di tangga kedua liga, merapatkan kedudukan di belakang pendahulu liga yang juga kelab jirannya, Inter Milan, kepada kurang lapan mata.

Anak buah Stefano Pioli itu memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2013/2014.

Juara bertahan, Juventus, kurang empat mata di belakang Milan di tangga ketiga sementara Atalanta, di tangga keempat, kurang satu lagi mata.

“Ia adalah kemenangan penting,” kata Pioli. “Ibra memberitahu saya beliau tidak mencerca pengadil.

“Beliau memberitahu ada mengadakan perbincangan yang berlarutan tetapi tidak menunjukkan sebarang rasa tidak hormat dan juga tidak sama sekali mencerca pengadil.

Penjaga gol Parma, Luigi Sepe, menepis cubaan Franck Kessie sebelum Ibrahimovic mengumpan bola kepada ante Rebic, yang gagal melakukan penyudah kemas pada minit kesembilan.

Ibrahimovic kemudian bergandingan dengan Theo Hernandez dan mengumpan bola kepada Kessie untuk menjaringkan gol tidak lama sebelum rehat.

Penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma, beraksi tangkas menepis tandukan Andrea Conti dan rembatan susulan Graziano Pelle, lima minit selepas rehat.

Tetapi Ibrahimovic dilayangkan kad merah kerana satu komen kepada pengadil tentang satu insiden di tengah padang yang langsung tidak melibatkannya.

Gagliolo membangkitkan harapan buat Parma apabila merapatkan kedudukan dan gol itu membakar semangat pemain Parma, yang gagal menembusi Donnarumma pada lewat permainan sebelum Leao melengkapkan jaringan pada minit kecederaan ketika Milan meraih rekod kelab dengan kemenangan 13 perlawanan di tempat lawan musim ini.

Milan dijangka beraksi tanpa Ibrahimovic untuk dua perlawanan seterusnya di tempat sendiri, menentang Genoa dan Sassuolo ketika mereka memburu kemenangan pertama di San Siro sejak lebih dua bulan.

Pada saingan mengelak penyingkiran, Torino menamatkan empat perlawanan tanpa menang apabila kapten pasukan, Andrea Belotti menyempurnakan penalti untuk menewaskan Udinese 1-0.

Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat Udinese.

“Sikap pemain harus seperti apa yang kita lihat hari ini dan ketika menentang Juventus,” kata Belotti, selepas mengikat Juventus 2-2 minggu lepas dan kini lima mata di atas zon penyingkiran.

Spezia, yang berada di tangga ke-14 liga, menjaringkan dua gol pada tiga minit terakhir untuk menewaskan Crotone 3-2. — AFP

Advertisement