Anda di sini

Abdul Karim: Kerajaan Sarawak sedia beri dana beli anjing pengesan dadah

Advertisement
Abdul Karim ditemani Pengarah AADK Sarawak Wan Madihi Wan Salleh mengadakan sidang media.

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia memperuntukkan dana untuk membeli anjing pengesan dadah bagi ditempatkan di setiap pintu masuk di negeri ini terutamanya di pejabat perkhidmatan penghantaran.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini kerana sehingga kini Sarawak hanya mempunyai dua ekor anjing pengesan dadah di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambah Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak itu, isu pengedaran dadah di negeri ini semakin membimbangkan selain cara kemasukan dadah ini yang amat mudah melalui pejabat perkhidmatan penghantaran.

"Saya telah bawa perkara ini banyak kali, kita tidak dapat melatih manusia untuk menghidu dadah dan kerana ini kita terpaksa bergantung kepada haiwan seperti anjing tetapi malangnya PDRM tidak mempunyai banyak anjing, begitu juga Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) tidak banyak anjing, kalau tidak silap PDRM untuk seluruh Sarawak hanya ada dua ekor sahaja anjing.

"Laluan masuk ke negeri kita banyak seperti lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan, malahan pejabat perkhidmatan penghantaran, jadi kita perlu lebih banyak anjing untuk perkara ini kerana hanya anjing dapat menghidu bau dadah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tindakan membanteras dadah peringkat negeri di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya di sini hari ini.

Jelas Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayan, anjing-anjing pengesan itu nanti juga boleh ditempatkan pejabat-pejabat perkhidmatan penghantaran bagi mengesan bungkusan yang dihantar masuk ke negeri ini.

"Dalam sehari ribuan bungkusan masuk ke negeri ini melalui pejabat perkhidmatan penghantaran ini dan mereka (kakitangan pejabat penghantaran) tidak boleh buka satu persatu hanya kerana mahu memeriksa sama ada terdapat dadah atau tidak dalam bungkusan berkenaan.

"Malah, unit penguatkuasaan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dan PDRM juga bergantung dengan maklumat yang disalurkan, kalau tidak ada maklumat mereka tidak akan buka bungkusan tersebut, jadi kita harus memperbetulkan keadaan ini kalau kita tidak dapat menyelesaikannya masalah ini akan terus membelenggu kita," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan pusat melalui Kementerian Dalam Negeri dapat melihat perkara ini dengan lebih mendalam lagi.

Tegasnya, kerajaan Sarawak sanggup untuk membeli anjing pengesan dadah untuk agensi penguatkuasaan di negeri ini.

"Jika itu kita dapat menyelesaikan masalah ini, harapan saya ia dapat didengar oleh kerajaan pusat," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Karim mendedahkan, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM4.8 juta.

Menurutnya, antara dadah yang paling banyak yang dirampas adalah syabu iaitu dengan anggaran nilai RM3,324,264 dengan berat 44,688.56 gram, ekstasi 16,203 biji dianggarkan bernilai RM1,099,313.40, ganja seberat 8,033.06 gram dengan nilai RM400,153, Ketamine 2,383.12 gram dengan nilai RM357,468, Eramin 5 sebanyak 1,054 biji dengan nilai RM15,810 dan nospan sebanyak 437 biji dengan nilai RM437.

  • oleh
  • Advertisement