Anda di sini

12 daripada 23 projek bekalan air bahagian Samarahan telah siap - Dr Abdul Rahman

Advertisement
Dr Abdul Rahman (dua kanan) ketika mengadakan lawatan kerja  ke salah satu tapak projek bekalan air Bahagian Samarahan hari ini.
Dr Abdul Rahman (dua kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke salah satu tapak projek bekalan air Bahagian Samarahan hari ini.

KUCHING: Kerajaan negeri akan membangunkan 23 projek bekalan air berimpak tinggi dari Kota Samarahan ke Sebuyau melibatkan peruntukan berjumlah RM462.23 juta.

Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata projek berkenaan termasuk Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air di Samarahan sejak 2018.

Beliau berkata projek-projek berkenaan dirancang dengan teliti melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di bahagian berkenaan.

"Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga dijangka melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi lebih mampan.

"Selain itu, ia memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Pam Penggalak Asajaya dan tapak projek Tangki Aras Tinggi Sadong Jaya, hari ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara-DBKU) menjelaskan, projek yang dijangka siap pada tahun depan itu melibatkan kerja-kerja pembinaan saluran paip baharu, pembinaan tangki aras tinggi serta stesen pam penggalak, penggantian saluran paip lama dan kerja-kerja menaiktaraf loji rawatan air.

"Setakat ini, 12 projek telah siap dan ia berjaya menangani isu bekalan air di beberapa kawasan di Asajaya dan Sadong Jaya," tambahnya.

Beliau berkata bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di bahagian Samarahan, JBALB akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa ditetapkan. 

"Projek-projek ini merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh," jelasnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Residen Kota Samarahan Brahim Lumpu dan Pengarah JBALB Chang Kuet Shian.

Advertisement