Anda di sini

Utusan PBB tiba di Bangkok runding isu Myanmar

Advertisement
 Gambar fail 15 Oktober 2018 ini menunjukkan Christine tiba di Lapangan Terbang Sittwe di Rakhine State. — Gambar AFP
UTUSAN: Gambar fail 15 Oktober 2018 ini menunjukkan Christine tiba di Lapangan Terbang Sittwe di Rakhine State. — Gambar AFP

BANGKOK: Selepas tidak dibenarkan memasuki Myanmar, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar, Christine Schraner Burgener tiba di Bangkok pada Jumaat bagi memulakan lawatan ke negara Asia.

Kementerian Luar Thailand (MFA) berkata, Schraner Burgener yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sedang menjalani kuarantin tujuh hari.

“Selepas kuarantin, beliau dijadual bertemu beberapa pegawai kanan kerajaan, termasuk wakil Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai dan pegawai agensi PBB.

“Kunjungan ke Thailand bertujuan bertukar dan berkongsi pandangan serta perspektif mengenai situasi di Myanmar, untuk mencari jalan penyelesaian,” kata MFA dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sebagai negara jiran, MFA berkata Thailand turut bimbang dengan situasi Myanmar dan kesannya terhadap rakyat.

“Kami komited untuk bekerjasama dan terlibat secara konstruktif dengan masyarakat antarabangsa, termasuk melalui PBB dan ASEAN untuk mencari penyelesaian secara aman bagi Myanmar dan rakyatnya.

“Kami berharap lawatan ke rantau ini oleh Utusan Khas dapat menyumbang ke arah penyelesaian,” tambah kenyataan itu.

“Baru tiba di BKK (Bangkok) untuk rundingan. Saya kecewa, semalam (kelmarin) Tatmadaw (angkatan tentera) membalas permintaan saya dengan mengatakan mereka tidak bersedia menerima saya. Saya sedia untuk berdialog. Keganasan tidak akan membawa kepada sebarang penyelesaian,” tulis beliau di Twitter.

Sementara itu, AFP melaporkan lawatan Schraner Burgener ke Myanmar untuk bertemu pemimpin tertinggi tentera, namun jurucakap junta Zaw Min Tun berkata “kami tidak ada sebarang rancangan untuk beri kebenaran buat masa ini “.

Sekurang-kurangnya 600 orang awam terbunuh ekoran tunjuk perasaan yang tercetus sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu dan hampir 3,000 lagi ditahan. — Bernama

Advertisement