Anda di sini

Tiga lagi kluster COVID-19 diisytiharkan di Sarawak, Kluster Sungai Maong tamat

Advertisement
 

KUCHING: Tiga lagi kluster COVID-19 diisytiharkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah kluster yang masih aktif meningkat kepada 49, setakat ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tiga kluster baharu itu ialah Kluster Abak Bon di Subis, Kluster Jalan Badarudin di Kuching dan Kluster Nanga Kelangas di Julau.

"Hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan tiga kluster baru COVID-19 iaitu Kluster Abak Bon, Subis, Kluster Jalan Badarudin, Kuching dan Kluster Nanga Kelangas, Julau.

"Hari ini juga Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytihar satu kluster tamat iaitu Kluster Kampung Sungai Maong, Kuching setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari yang lepas," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPNBS) berkata dengan penambahan tiga kluster baharu itu, setakat ini terdapat 49 kluster COVID-19 masih aktif di negeri ini.

Beliau memberitahu daripada jumlah tersebut, 10 kluster yang melaporkan penambahan kes manakala 39 kluster lagi tiada penambahan kes.

Sementara itu berdasarkan statistik dikeluarkan JPBNS, setakat ini kes kumulatif dikesan di Kluster Abak Bon, Subis ialah 34 kes, manakala bagi Kluster Jalan Badarudin, Kuching, 17 (kes) dan Kluster Nanga Kelangas, Julau sebanyak 37 kes.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Sarawak telah mengeluarkan empat kompaun di Miri kerana melanggar prosedur opersai standard (SOP) mencegah COVID-19.

Advertisement