Anda di sini

Tenaga solar di Malaysia - Antara cabaran, manfaatnya sebagai tenaga alternatif

Advertisement
 

KUALA LUMPUR,: Kalangan peminat tenaga solar terus giat mempromosikan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE), atas alasan ia boleh didapati secara percuma dan lebih menjimatkan.

Bagaimanapun, adakah ini benar? Adakah mempunyai terlalu banyak tenaga solar merupakan perkara yang baik? Mari kita kaji lebih lanjut.

Tenaga solar hanya boleh didapati pada waktu siang, dan anda masih memerlukan tenaga pada waktu malam. Ini biasanya akan disediakan oleh loji janakuasa konvensional yang lain (iaitu arang batu, gas dan hidro). Ini bermakna loji janakuasa konvensional masih diperlukan walaupun tenaga solar diperkenalkan dalam sistem.

Sebagai alternatif, bateri juga boleh digunakan untuk menyimpan sebahagian daripada tenaga solar pada waktu malam. Bagaimanapun, ini mempunyai kos tambahan.

Teknologi bateri masih baharu dan mahal dengan harga semasa sebanyak RM5000/kW, berbanding RM3000/kW untuk kos biasa bagi loji janakuasa gas. Bukan hanya bateri untuk sistem tenaga itu mahal, ia juga hanya boleh digunakan untuk waktu yang terhad, bergantung kepada jenis dan reka bentuknya.

Loji tenaga solar berkapasiti 100MW tidak sama dengan loji janakuasa konvensional 100MW dari segi keupayaan penjanaan. Perbezaan ini terutamanya untuk faktor kapasiti.

Faktor kapasiti adalah nisbah jumlah tenaga sebenar yang dijana dalam jangka masa tertentu kepada tenaga yang akan dihasilkan jika loji itu beroperasi secara berterusan pada kadar maksimum. Faktor kapasiti loji tenaga solar sebanyak 17 peratus manakala loji janakuasa gas boleh mencapai sehingga 80 peratus. 

Misalnya, dalam setahun, tenaga solar sebanyak 100MW hanya dapat menjana tenaga 149GWh manakala loji janakuasa gas dengan kapasiti yang sama dapat menjana tenaga sehingga 700GWh. Oleh itu, sebanyak lima loji tenaga solar diperlukan untuk menjana jumlah tenaga yang sama dengan sebuah loji janakuasa gas dengan kapasiti yang sama.

Cabaran lain ialah tenaga solar tidak boleh dikawal atau dihantar berbanding loji janakuasa konvensional yang dapat dikawal seperti yang diperlukan. Oleh itu, tenaga solar perlu diterima dalam grid semasa ia dijana.

Ini boleh menimbulkan masalah semasa tempoh penjanaan tenaga solar yang tinggi pada hari permintaan yang rendah (hujung minggu atau cuti umum) yang boleh mewujudkan lebihan bekalan kepada sistem.

Berdasarkan senario ini, loji janakuasa konvensional mungkin perlu dikurangkan atau ditutup untuk memberi laluan kepada penjanaan tenaga solar, yang akan menjejaskan keselamatan sistem.

Jika diamati, Malaysia mempunyai liputan awan yang ketara dan menyebabkan output tenaga solar yang tinggi.

Namun, aspek tersebut memerlukan sokongan lanjut daripada sistem grid khususnya loji janakuasa tenaga konvensional bagi memastikan bekalan tenaga dapat disalurkan secara berterusan untuk kemudahan pelanggan.

Walaupun kadar kapasiti bagi loji janakuasa solar berkemungkinan lebih tinggi, ia hanya berupaya menyumbang sebanyak 17 peratus bagi memenuhi keperluan margin simpanan sistem manakala baki keperluan itu perlu disalurkan oleh pemasangan kemudahan loji janakuasa konvensional.

Pada masa sama, kos sokongan sistem di waktu siang, tambahan margin simpanan dan pengekalan loji janakuasa konvensional serta simpanan bateri pada waktu malam, mewakili kos integrasi solar ke dalam sistem yang melebihi kos penjanaan terbabit.

Oleh itu, dalam merujuk persoalan membabitkan kewujudan terlalu banyak solar dalam sistem, kita boleh menyelami pengalaman Australia.

Negara itu misalnya mempunyai kadar penembusan solar bumbung lebih tinggi berikutan pendekatan liberal oleh kerajaannya yang menggalakkan tenaga boleh diperbaharui.

Pihak Pengawal Selia Tenaga Australia juga sedang mempertimbang untuk mengenakan caj tarif terhadap pemilik solar bumbung yang menyalurkan semula tenaga tersebut ke dalam grid ketika waktu puncak.

Menurut Suruhanjaya Pasaran Tenaga Australia yang mencadangkan tarif itu, tindakan mengeksport solar ke dalam grid itu boleh menyebabkan kesesakan tenaga dan menjejaskan kestabilan sistem terbabit.

Oleh itu, langkah mengenakan caj terhadap isi rumah terbabit akan membantu dari segi mengurangkan ‘kesesakan’ aliran tenaga elektrik.

Namun, kehadiran terlalu banyak tenaga solar kekal menjadi persoalan sama ada ini sesuatu yang bermanfaat berikutan hakikat bahawa RE bukan lagi murah jika disertakan dengan caj atau bayaran tambahan serta penalti.

Malah, sekiranya program solar besar ini dimulakan, ia turut membabitkan kos tambahan ketara yang ditanggung hasil daripada integrasi solar ke dalam sistem untuk memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem terbabit.

Lazimnya, kos tambahan itu perlu ditanggung atau dilepaskan kepada pengguna.

Sehubungan itu, pengagihan kos integrasi RE yang adil dan saksama kepada semua pengguna sememangnya diperlukan bagi mengelak berlakunya ‘peralihan kos.’

Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan tenaga solar itu juga sememangnya disambut baik, namun pada masa sama perlu disertai dengan pelaksanaan secara sistematik bagi menjamin nilai maksimum kapasiti solar selain memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan sistem terbabit.

Apa yang pasti, sebarang pendekatan berhati-hati oleh kerajaan dalam usaha ini adalah sesuatu yang dialu-alukan serta dilihat wajar demi memastikan keberkesanannya. - Bernama 

Advertisement