Anda di sini

Sarawak United jinakkan FAM-MSN 7-1, terajui Liga Perdana

Advertisement
Para pemain Sarawak United meraikan gol pasukan mereka. - Gambar ihsan Sarawak United
Para pemain Sarawak United meraikan gol pasukan mereka. - Gambar ihsan Sarawak United

KUCHING: Pasukan Sarawak United FC mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus menerajui takhta Liga Perdana Malaysia apabila membelasah skuad Projek FAM-MSN 7-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada malam Sabtu.

Skuad kendalian E. Elavarasan Elangowan itu menyaksikan pemain import, Uche Agba berjaya memahatkan nama sebagai pemain pertama meledakkan empat jaringan dalam satu perlawanan.

Empat jaringan yang dicipta oleh Agba pada minit ke-14, 16, 30 dan 60 manakala tiga gol lagi dijaringkan oleh S. Chanturu pada minit ke-44 serta Abdul Rahim Razak pada minit ke-83 termasuk Tommy Mawat Bada minit ke-89.

Dengan kemenangan bergaya itu, Sarawak United mengutip 16 mata, dua mata mengatasi Negeri Sembilan yang menduduki tempat kedua dengan 14 mata.

Gol tunggal Projek FAM-MSN diperolehi menerusi sepakan penalti Azhad Harraz Arman pada minit ke-56. 

Elavarasan selepas perlawanan berkata, meskipun sedikit merasakan debaran pada babak pertama perlawanan, namun pasukan bimbingannya itu berjaya menjaringkan empat gol. 

"Kita lihat perlawananan skuad FAM-MSN sebelum ini, jadi kita tidak mahu mengalami masalah dalam masa pertama permainan dan nasib menyebelahi kita apabila berjaya menjaringkan empat gol. 

"Itu kelebihan kepada kita dan masa kedua permainan kedua-dua pasukan lebih seimbang tetapi kita teruskan permainan supaya gawang kita tidak dibolosi namun sayangnya pihak lawan berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti," jelasnya. 

Tambahnya, jaringan pihak lawan itu sedikit menghampakan beliau kerana mahu Sarawak United mengekalkan rekod menang tanpa dibolosi tidak kesampaian. 

"Perlawanan seterusnya kita akan berdepan pasukan PDRM dan berharap para pemain mengekalkan prestasi permainan," ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sarawak United mungkin akan kekurangan pemain import ketika berdepan PDRM minggu hadapan setelah Lee Chang Hoon dan Sandro Mendoca ditimpa kecederaan. 

"Kedua-dua pemain import kita sedikit mengalami kecederaan, saya rasa tahap kecederaan itu akan kita ketahui dua atau tiga hari ini. 

"Mungkin kita akan kekurangan pemain import pada perlawananan berikutnya tetapi kita ada lima hari lagi sebelum perlawanan seterusnya," katanya. 

Sementara itu, pasukan Kuching City FC terpaksa berputih mata untuk mengutip mata ketika berkujung ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV setelah tewas dengan tuan rumah, Kelantan FC 0-1.

Keputusan itu meletakkan Kuching City ditangga kesembilan liga dengan merekodkan enam mata.

  • oleh
  • Advertisement