Anda di sini

PDRM akan panggil Ahmad Zahid, Anwar Ibrahim: KPN

Advertisement
 Abdul Hamid (depan, tiga kiri) bersama Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (depan, dua kiri) semasa gimik pelancaran pada majlis pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Bandar Puteri Klang semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Abdul Hamid (depan, tiga kiri) bersama Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (depan, dua kiri) semasa gimik pelancaran pada majlis pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Bandar Puteri Klang semalam. — Gambar Bernama

KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merekodkan keterangan berhubung rakaman perbualan audio yang dikaitkan dengan kedua-dua mereka, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia adalah tindakan yang perlu diambil; dan apabila tiba masa yang sesuai, pegawai penyiasat akan merakamkan kenyataan kedua-dua mereka.

“Sekiranya mereka merasakan diri mereka teraniaya atau difitnah, mereka boleh tampil untuk membuat aduan, kertas siasatan dijalankan melalui sudut ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor, di Tapak Padang Surau An-Nur di sini semalam.

Beliau berkata, sekiranya terdapat banyak laporan mengenai perkara itu dibuat oleh orang ramai kerana berasa tertekan, cemas dan gempar, maka pihak polis mempunyai sebab untuk membuka kertas siasatan dan menyiasat perkara itu.

Katanya, kertas siasatan telah pun dibuka berkenaan rakaman berkenaan, dan rakaman audio telah dihantar ke makmal forensik untuk mengesahkan kesahihannya.

Rakaman audio perbualan di antara dua individu yang dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tersebar itu telah tersebar dengan meluas di media sosial dan blog, didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, beliau tidak dapat memberikan tempoh berapa lama masa akan diambil untuk analisis rakaman audio berkenaan.

“Dalam apa juga kes kita cuba dapatkan penyelesaian yang cepat agar siasatan itu disegerakan,” katanya.

“Hasil analisis akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara,” tambahnya. — Bernama

Advertisement