Anda di sini

MIS dicadang ambil alih pengurusan Sekolah Agama Madrasatul Islamiah Sibu

Advertisement
Dr Annuar (tiga dari kanan) menerima kunci sekolah dari Arkitek Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Joy Natalie Cotter sebagai simbolik Penyerahan Projek Baikpulih Sekolah Agama Madrasatul Islamiah Sibu di Masjid An-Nur Sibu, hari ini.
Dr Annuar (tiga dari kanan) menerima kunci sekolah dari arkitek Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Joy Natalie Cotter sebagai simbolik penyerahan projek baik pulih Sekolah Agama Madrasatul Islamiah Sibu di Masjid An-Nur Sibu, hari ini.

SIBU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) bercadang untuk meletakkan Sekolah Agama Madrasatul Islamiah Sibu di Masjid An-Nur Sibu di sini di bawah pengurusan Majlis Islam Sarawak (MIS).

Pengerusi LAKIS Dr Annuar Rapa'ee berkata keputusan itu dibuat bagi mengikut jejak langkah Sekolah Ma’ad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub (MATTARY) di Kuching yang kini di bawah pengurusan MIS.

"LAKIS mencadangkan kepada MIS untuk mengambil alih sekolah ini dari segi pengurusan dan kokurikulumnya.

"Selepas kita mendapat kelulusan dari lembaga (LAKIS), pihak MIS akan menggunakan bangunan sekolah ini sepenuhnya.

"Jadi, dalam beberapa bulan ini saya akan mengusahakan perkara ini supaya pada tahun depan kita sudah boleh mula beroperasi," katanya kepada wartawan selepas majlis penyerahan projek baik pulih Sekolah Agama Madrasatul Islamiah Sibu di Masjid An-Nur Sibu, hari ini.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu menambah, langkah ini selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak yang mewujudkan sekolah menengah agama antarabangsa di Kuching.

Jelasnya, jika MIS mengambil alih, maka sekolah ini juga akan mengikut silibus seperti MATTARY yang menggunakan silibus antarabangsa.

"Jika anda bertanya kepada saya mengenai silibus, saya tidak dapat menjawab soalan itu pada masa ini kerana kita masih berunding dengan MIS.

"Tetapi saya berharap, sekolah ini pada masa akan datang menjadi 'feeder school' kepada sekolah menengah agama antarabangsa tersebut," katanya.

Sementara itu, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memberitahu bahawa projek baik pulih sekolah telah menelan belanja kira-kira RM1.8 juta menerusi peruntukan dari Kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, sekolah tersebut kini mempunyai enam buah kelas yang dapat menempatkan 25 orang murid untuk setiap kelas.

"Selain itu, sekolah ini turut dilengkapi dengan bilik komputer, surau, bilik multimedia, bilik mesyuarat, perpustakaan, tandas untuk OKU dan lain-lain lagi.

"Perkakas seperti perabot akan kita tambah dalam tahun ini," katanya.
 

Advertisement