Anda di sini

Mati tertembak ketika berburu, abang mangsa ditahan

Advertisement
Polis bersama Bomba menjalankan siasatan di tempat kejadian sebelum membawa keluar mayat mangsa.
Polis bersama menjalankan siasatan di tempat kejadian sebelum membawa keluar mayat mangsa bersama anggota bomba.

KUCHING: Polis Bau menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang maut dipercayai tertembak ketika berburu di hutan berhampiran Kampung Stenggang, Jalan Bau-Lundu malam Sabtu. 

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek, 60, merupakan abang kepada mangsa, 55, dikatakan bersama-sama keluar memburu sekitar jam 7 malam. 

"Hasil siasatan awal, suspek bersama mangsa telah pergi ke lokasi dengan tujuan untuk memburu pelanduk, manakala mangsa mencari katak di sungai.

"Apabila sampai ke lokasi, suspek dan mangsa telah berpecah dan melakukan peranan masing-masing dan semasa suspek sedang menunggu pelanduk dalam lebih kurang dua jam, suspek terdengar sesuatu bunyi di dalam air sungai dan seperti ternampak kelibat pelanduk sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah sungai di mana mangsa berada," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya lagi, setelah tembakan dilepaskan, suspek mendengar jeritan dan setelah membuat pemeriksaan, suspek mendapati mangsa dalam keadaan berdarah dalam kedudukan terlentang di tebing sungai. 

Katanya, jarak di antara mangsa dan suspek semasa ditembak lebih kurang 15 meter. 

"Suspek berada dalam keadaan panik dan terus balik ke rumah dan memaklumkan (kejadian itu) kepada adik beradik suspek yang berada di rumah," kata Poge. 

Tambah beliau, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.45 malam sebelum bergerak ke lokasi. 

Berikutan itu, tegasnya, suspek ditangkap sekitar jam 11.50 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Stenggang, Bau. 

"Polis turut merampas beberapa peralatan untuk dijadikan barang kes, antaranya selaras senapang patah dipercayai senapang buatan sendiri, lima butir peluru hidup, satu butir kelongsong peluru, dua lampu suluh dan satu tambok plastik berwarna hijau," jelasnya. 

Dalam pada itu, Poge memberitahu, suspek memaklumkan senapang patah yang digunakan untuk memburu tersebut adalah milik mangsa manakala peluru adalah milik suspek.

Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 akta yang sama. 

Berita berkaitan: Lelaki maut terkena tembakan ketika berburu di Bau

  • oleh
  • Advertisement