Anda di sini

Lelaki tolak isteri dari tingkat 18 kondominium kerana cemburu

Advertisement
 

GEORGE TOWN: Kematian seorang wanita yang mayatnya ditemukan di atas bumbung bilik panel suis elektrik milik Tenaga Nasional Berhad di Kondominium Bukit Awana, Air Itam di sini semalam, dipercayai akibat jatuh dari tingkat 18 kondominium itu, disyaki ditolak oleh suaminya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mayat wanita berusia 35 tahun itu ditemukan orang awam pada 12.06 tengah malam semalam (10 April) dan suspek ditahan polis setengah jam kemudian di rumah pasangan tersebut.

"Mayat mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans itu ditemukan oleh penduduk di situ dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah. Hasil soal siasat ke atas suaminya  yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan, lelaki itu mengaku telah bertindak menolak mangsa setelah berlaku pergaduhan.

"Pasangan itu bergaduh di rumah mereka di tingkat 18 selepas suspek mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya ujian air kencing ke atas lelaki itu turut mendapati suspek positif dadah dan dia kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh. 

Mengulas kes lain, Soffian berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan pejabat Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jelutong di sini, kira-kira 7.40 malam semalam.

Menurutnya bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemukan oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang datang ke premis berkenaan.

“Turut ditemukan bersama-sama bayi lelaki itu ialah satu nota bertulis ‘tolong jaga budak ini’,” katanya.

Beliau berkata bayi itu telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-473 5105 atau melaporkan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama 

Advertisement