Anda di sini

Lelaki British maut nahas jalan raya di Miri

Advertisement
Keadaan kenderaan 4WD yang dipandu mangsa maut terbabas ke kiri jalan.
Keadaan kenderaan 4WD yang dipandu mangsa maut yang terbabas malam Sabtu.

MIRI: Seorang lelaki warga British maut setelah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandunya terbabas di Jalan Lutong - Kuala Baram di sini malam Sabtu. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kemalangan kira-kira jam 9 malam menyebabkan mangsa dikenali sebagai Drew Markham, 38, dari Swanhill Garden, Jalan Riam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu oleh mangsa pada mulanya mengalami kemalangan dengan sebuah motosikal di Lorong Mulia 2B, Tudan. 

"Mangsa yang datang dari arah Senadin melalui Jalan Tudan dipercayai telah makan jalan semasa hendak masuk ke simpang tersebut lalu melanggar motosikal yang datang dari arah bertentangan. 

"Akibat kemalangan pertama itu, motosikal mengalami kerosakan yang teruk pada bahagian hadapan dan penunggang motosikal seorang lelaki berusia 54 tahun mengalami kecederaan ringan," katanya kepada Utusan Borneo. 

Alexson berkata pemandu 4WD kemudian terus memandu kenderaannya, dipercayai lari dari tempat kejadian pertama. 

"Semasa sampai di Jalan Lutong - Kuala Baram, kenderaan 4WD terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tebing parit konkrit dan seterusnya bergolek dan melanggar pagar sebuah premis sebelum berhenti di hadapan premis tersebut. 

"Akibat kemalangan itu, pemandu 4WD meninggal dunia di tempat kejadian dan kenderaan dipandunya mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan," ujarnya. 

Susulan kejadian itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya. 

Menurut Alexson kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

  • oleh
  • Advertisement