Anda di sini

Lapan lokaliti di Tawau, Sabah dikenakan PKPD bermula esok - Ismail Sabri

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di lapan lokaliti di Tawau, Sabah bermula esok hingga 25 April ini susulan penularan jangkitan COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lokaliti yang terlibat ialah Taman Sri Bukit Tawau; Taman Cahaya; Jalan Tengku Osman; Kuarters Bomba Tawau; Bandar Sri Indah; Jalan Mesra;  Kampung Titingan dan Taman Golden Hill.

Menurutnya sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 76 kes positif COVID-19 dan 220 orang kontak rapat telah dikesan dalam lapan lokaliti ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata seramai 208 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam dengan 199 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman.

Menurutnya aktiviti pusat hiburan merekodkan jumlah tertinggi melibatkan seramai 112 individu, gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri (27), tidak memakai pelitup muka (16) dan lain-lain (53).

Selain itu, beliau berkata seramai sembilan pendatang tanpa izin ditahan, tujuh lagi diusir melalui tiga aktiviti pengusiran dan tiga kenderaan darat dirampas menerusi Op Benteng, semalam.

Menurutnya Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia dan agensi keselamatan lain turut menjalankan 256 sekatan jalan raya  semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata semalam turut menyaksikan seramai 807 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 170,888 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 79 hotel dan lapan Institut Latihan Awam serta Institut Pengajian Swasta seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,868 individu telah dikuarantin dan 161,681 orang dibenarkan pulang manakala 1,339 lagi dibawa ke hospital,” katanya. - Bernama 

Advertisement