Anda di sini

KPKT akan pinda akta bagi atasi masalah projek terbengkalai, tindakan tegas terhadap pemaju - Zuraida

Advertisement
Zuraida pada sidang media selepas merasmikan pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad di Kuching, hari ini.
Zuraida pada sidang media selepas merasmikan pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam perancangan untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996, (Akta 188) bagi melindungi hak dan kepentingan pembeli.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pindaan itu bertujuan untuk mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai serta tindakan tegas yang perlu diambil terhadap pemaju.

Ketika ini, katanya, undang-undang sedia ada berkaitan pembelian rumah di negara ini masih longgar dan tidak ketat  untuk melindungi pembeli.

"Misalnya, kita hanya mampu mengenakan tindakan senarai hitam sahaja terhadap pemaju perumahan dan kita tidak dapat mengambil tindakan terhadap mereka apabila pemaju ini diisytiharkan muflis. 

"Jadi, buat masa sekarang memang agak sukar untuk pembeli mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat pemaju perumahan, yang sekali gus menyebabkan mereka (pembeli) mengalami kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad di sini, hari ini.

Selain meminda akta tersebut, Zuraida berkata, KPKT juga merancang untuk mewujudkan tabung kecemasan bagi membantu menyelamatkan sesebuah projek perumahan daripada masalah terbengkalai. 

"Sekiranya kita ada skim tabung kecemasan atau 'Singking Fund' pada masa hadapan, kita akan dapat membantu pemaju menyiapkan projek yang mempunyai risiko terbengkalai ini dan pembeli tidak akan mengalami kerugian.

Beliau turut memberitahu Kementeriannya kini dalam peringkat merumuskan Akta Sewaan Kediaman yang akan membantu mengukuhkan dan melindungi hak pembeli dan pemilik kediaman.

Ditanya mengenai sama ada terdapat projek terbengkalai di Sarawak, beliau memberitahu setakat ini tiada projek terbengkalai di bawah SPNB.

"KPKT mempunyai peruntukan untuk membantu projek terbengkalai ini, tetapi peruntukan itu tidak begitu banyak.

"Apabila projek terbengkalai diumumkan, kita akan membuka tender untuk mana-mana kontraktor yang ingin memohon atau sekiranya mereka menilai akan memberi keuntungan, kita akan membenarkan mereka meneruskan projek selepas mereka (kontraktor) membuat permohonan," ujarnya.

Berkenaan perasmian pejabat SPNB itu Zuraida berkata ia merupakan sebahagian daripada  satu inisiatif penjenamaan semula agensi itu di Sarawak sejak 2004.

Sehingga kini katanya, SPNB telah berjaya menyiapkan sebanyak 2,904 unit kediaman di negeri ini.

“Malah ada  beberapa projek lagi yang bakal dilancarkan yang antaranya adalah di Kuching dan Miri dengan melibatkan 2,187 unit kediaman.

“Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan B40 di Sarawak diminta menghubungi  SPNB, bagi mendapatkan maklumat berkenaan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan pembelian kediaman SPNB yang mampu dimiliki,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlime Tebrau Steven Choong Shiau Yoon, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Datuk Hasleen Isnin dan Pengarah SPNB Sarawak Wan Habeeb Alli Wan Yep Mohdzar.
 

  • oleh
  • Advertisement