Anda di sini

JPBNS telah ambil langkah sewajarnya untuk kekang penularan COVID-19 - Uggah

Advertisement
 

KUCHING: Rakyat Sarawak harus memahami peranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam pengurusan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata ada dalam kalangan rakyat di media sosial telah menyalahkan JPBNS atas peningkatan tinggi kes COVID-19 di Sarawak.

Katanya, JPBNS hanya mengeluarkan garis panduan (SOP), menguatkuasakan undang-undang dan memantau pelaksanaan SOP tersebut.

"Melihat situasi semasa, JPBNS telah mengambil langkah sewajarnya dan peruntukan telah disediakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19

“Penularan ini cuma dapat dikawal hanya dengan adanya kerjasama daripada semua pihak termasuk rakyat setempat yang mempunyai peranan masing-masing untuk mengekang penularan COVID-19 ini," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata prosedur operasi standard (SOP) majlis sosial juga dikeluarkan oleh JPBNS dan hendaklah sentiasa diamalkan.

Beliau menegaskan, terlalu banyak nyawa yang terkorban dan mangsa menderita akibat COVID-19 dan ia sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pihak.

“Sarawak telah berjaya melandaikan tiga gelombang COVID-19 sepanjang tahun 2020. 

"Sekali lagi saya menyeru untuk kembali kepada sikap yang berwaspada dan berjaga-jaga supaya virus COVID-19 ini tidak menular serta jangan leka, jangan lalai dan jagalah kesihatan diri termasuk keluarga,” ujarnya.

Advertisement