Anda di sini

JPBNS keluarkan SOP terperinci untuk aktiviti berbuka puasa 

Advertisement
 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) terperinci untuk aktiviti berbuka puasa di restoran, dewan, hotel dan premis makanan.

JPBNS berkata penganjur acara berbuka puasa mesti memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) masing-masing sebelum mengadakan aktiviti tersebut.

"PBT akan melakukan pemeriksaan dengan JPBB dan Kementerian Kesihatan sebelum persetujuan bertulis kemudian yang akan dikeluarkan oleh JPBB," kata pihaknya.

Aktiviti berbuka puasa hanya dapat dijalankan sebanyak 50 peratus dari kapasiti maksimum, dengan pematuhan jarak sosial tidak melebihi 300 orang.

"Wajib bagi pelanggan untuk membuat tempahan sebelum makan di premis. Datang terus ke premis tanpa tempahan tidak dibenarkan." 

JPBNS menambah tempahan berkumpulan oleh agensi kerajaan atau swasta tidak dibenarkan dan hanya dibenarkan untuk kumpulan individu dan mereka yang melibatkan ahli keluarga terdekat.

Pelanggan tidak dibenarkan menunggu dalam barisan dan pesanan perlu dibuat oleh pelanggan dari menu dan makanan seterusnya disajikan di atas meja, tegasnya.

Turut ditekankan bahawa pemilik premis atau penganjur harus melaksanakan pematuhan kepada semua SOP yang telah ditetapkan selain melabelkan dengan jelas perimeter aktiviti berbuka puasa tersebut dijalankan dikawasan terbuka atau dalam premis.

"Kaunter pendaftaran harus disediakan di setiap pintu masuk untuk mengehadkan jumlah masuk pelanggan, selain memeriksa suhu badan pelanggan dari sebarang gejala batuk, sakit tekak selesema dan masalah pernafasan.  

"Pelanggan yang suhu badannya melebihi 37.5 darjah celsius atau menunjukkan gejala tidak boleh sama sekali dibenarkan masuk. 

"Penganjur, pengendali, kru, pelayan atau pekerja mesti menjalani pemeriksaan kesihatan, tidak menunjukkan gejala penyakit dan pelitup muka adalah wajib setiap saat," ujarnya.

Pelanggan atau pengunjung harus menjaga jarak sosial satu meter ketika beratur di kaunter pendaftaran dan membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan sebelum masuk.

Selain itu, pembersihan dan nyah cemar kuman sesuai dengan SOP Kementerian Kesihatan mesti dilakukan sebelum dan sesudah berbuka puasa di ruang makan, meja dan kerusi, perkakas katering, tandas dan permukaan atau barang-barang yang terdedah kepada sentuhan.

"Lokasi untuk berbuka puasa juga mesti mempunyai sistem pengudaraan yang baik dengan jarak satu meter antara meja makan lainnya.

"Penyediaan makanan mestilah dalam bentuk makanan pek, serta anggota kru premis atau pelayan mesti memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika mengendalikan makanan," katanya lagi.

Individu yang menghidap penyakit kronik disarankan untuk tidak ikut serta dalam kegiatan berbuka puasa di tempat tersebut. 

Kehadiran bayi dan kanak-kanak juga tidak digalakkan. 

Bersesak di tandas, lif atau di mana sahaja tempat berbuka puasa harus dielakkan. 

Mengenai berbuka puasa di masjid atau surau, ini adalah berdasarkan kepada SOP dan persetujuan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Islam negeri dan mereka yang ingkar akan dikompaun.

Antara aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk bergerak dari meja ke meja untuk memberi salam, berbuka puasa di kawasan yang sukar dilakukan kawalan orang ramai, perkhidmatan bufet, perjalanan ke kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mengadakan majlis berbuka puasa.

Pesakit dalam siasatan (PUI) dan orang di bawah pengawasan (PUS) adalah ditegah sama sekali untuk menghadiri mana-mana acara tersebut.

Peraturan terkini aktiviti berbuka puasa di bawah JPBNS dan PBT akan dikemas kini dari masa ke masa selain Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Waktu beroperasi restoran, premis makanan, trak makanan dan perkhidmatan penghantaran makanan, antara aktiviti lain, dipanjangkan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 pagi bermula 13 sehingga 26 April ini.

 
 
 
 
 
 
Advertisement