Anda di sini

Jahid ingatkan pemimpin PBS jangan mudah patah semangat

Advertisement
 Jahid (depan kanan) bersama pemimpin PBS dan tetamu jemputan lain bersemangat melaungkan slogan keramat PBS.
SEMANGAT: Jahid (depan kanan) bersama pemimpin PBS dan tetamu jemputan lain bersemangat melaungkan slogan keramat PBS.

SEMPORNA: Barisan kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) diseru untuk tetap teguh, setia kepada parti dan tidak mudah patah semangat agar matlamat parti tercapai.

Timbalan Presiden PBS Datuk Jahid Jahim berkata, para pemimpin sama ada di peringkat bahagian atau cawangan perlu bekerjasama dan meneruskan sokongan padu tanpa berputus asa serta terus bekerja secara jujur dan ikhlas kepada parti.

Menurutnya, sekecil mana pun bilangan ahli sekiranya terus bersatu dan memperkuatkan bahagian dan cawangan, ia pasti mampu membawa kepada perubahan di sesebuah kawasan.

"Bertahanlah dengan keyakinan kita akan mampu membuat perubahan ini bersama PBS," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Bugaya di Dewan Arena Belia di sini semalam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli ini berkata, ahli PBS perlu saling berjalan bersama dengan pucuk kepimpinan untuk memperjuangkan hak-hak rakyat.

Langkah itu katanya, seiring dengan apa yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar menjadi realiti.

"Yakinlah hala tuju kita dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), anda berada di landasan yang betul kerana apabila kita bersatu, matlamat kita akan tercapai," jelasnya.

Turut hadir, Naib Presiden PBS Mursid Mohd Rais; Ketua Exco Pergerakan Wanita PBS Datin Malianah Ugau; dan Pengerusi Penganjur yang juga Pemangku Ketua Bahagian PBS Bugaya Fazidah Mohd Yassin.

Hadir sama memberikan sokongan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bugaya Abdul Hussin Kiamsin dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Semporna Daud Tampokong.
 

  • oleh
  • Advertisement