Anda di sini

COVID-19: Sarawak rekod 443 kes baharu hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak merekodkan 443 kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini, 20,001.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Bintulu (89), Sibu (83), Miri (61), Julau (43), Kapit (32), Mukah (31), Kuching (26), Sarikei (22), Matu (tujuh), Samarahan (tujuh), Meradong (tujuh), Subis (enam), Serian (enam), Kabong (lima), Beluru (tiga), Belaga (tiga), Betong (tiga), Bukit Mabong (tiga), Kanowit (dua), Saratok (dua), Tanjung Manis (dua), Tatau (dua) dan Sebauh (dua). 

"Daripada 443 kes baharu yang dilaporkan, seramai 40 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.

"Manakala, seramai 351 kes yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata daripada 443 kes baharu dilaporkan hari ini 248 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 dengan 21 daripadanya bergejala.

Manakala 101 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (tiada bergejala), 73 melibatkan individu melakukan saringan di fasiliti kesihatan (tiada bergejala).

"19 kes lagi merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan, satu kes masing-masing melibatkan individu balik dari luar negara (Indonesia) dan balik dari negeri lain," katanya.

Uggah berkata pada hari ini terdapat 333 kes baharu yang pulih dan dibenarkan discaj iaitu dari Hospital Bintulu (88), Hospital Umum Sarawak (87), Hospital Sarikei (57), Hospital Sibu (37), Hospital Miri (34), PKRC Serian (11), PKRC Betong (tujuh), PKRC di bawah Hospital Kapit (enam), PKRC di bawah Hospital Sri Aman (tiga), PKRC di Semuja (satu), PKRC di bawah Hospital Lawas (satu) dan PKRC di bawah Hospital Mukah (satu). 

Ini katanya menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 16,244 orang atau 81.22 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Jumlah kematian akibat wabak COVID-19 di Sarawak kekal 124.

  • oleh
  • Advertisement