Anda di sini

COVID-19: 1,739 kes baharu dengan lapan kematian hari ini - KP Kesihatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini mencatatkan 1,739 kes dengan lapan kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada jumlah itu 1,731 adalah penularan tempatan, manakala lapan lagi adalah kes import.

“Kes sembuh pula adalah 1,216 menjadikan jumlah kumulatif 343,953,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

“Pada masa ini, terdapat 183 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 81 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiga negeri mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu Selangor dengan 535 kes, diikuti Sarawak (443) dan Sabah (127).

Mengenai kes kematian hari ini beliau berkata, ia melibatkan empat di Selangor, dua di Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Sabah dan Johor, dengan umur antara 57 dan 78 tahun.

Sementara itu, lapan kluster baharu turut dikenal pasti membabitkan lima kluster tempat kerja dan tiga kluster komuniti.

Kluster tempat kerja adalah Jalan Kasawari dan Jalan Desaria di Selangor; Jalan Bambangan dan Jalan Badarudin di Sarawak; serta Jalan Zainab di Kelantan.

Bagi kluster komuniti pula, Nanga Kelangas dan Abak Bon di Sarawak, serta kluster Meruntum di Sabah. - Bernama

Advertisement