Anda di sini

Sarawak tunggu hasil rundingan MA63 sebelum guna pakai istilah wilayah

Advertisement
Abang Johari mendengar keterangan daripada Snowdan (kiri) mengenai pelan pembinaan Stadium Mini Balai Ringin. Turut kelihatan Masing (kanan). - Gambar PENERANGAN.
Abang Johari mendengar keterangan daripada Snowdan (kiri) mengenai pelan pembinaan Stadium Mini Balai Ringin. Turut kelihatan Masing (kanan). - Gambar PENERANGAN.

KUCHING: Penggunaan istilah wilayah bagi Sarawak bergantung kepada hasil rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA62) ketika ini. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penggunaan istilah tersebut adalah cadangan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diterima oleh Sarawak. 

Tetapi katanya sama ada ia akan diguna pakai oleh Sarawak atau tidak bergantung kepada hasil rundingan MA63 ketika ini. 

“Biarkan pakar undang-undang menentukan istilah sebenar. Kita masih berbincang di bawah MA63,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Stadium Mini Balai Ringin, Serian hari ini. 

Tambah Abang Johari, Sarawak telah membangkitkan peruntukannya dalam Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dari sudut tafsiran persekutuan. 

“Dalam peruntukan sekarang ia merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu sahaja iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. 

“Dalam MA63, pembentukan Malaysia adalah terdiri daripada tiga wilayah satunya Wilayah Persekutuan Tanah Melayu, keduanya Sabah, Sarawak dan Singapura. 

“Memang Singapura telah keluar, jadi kita Negeri Sarawak meminta supaya perlembagaan ini dipinda mengikut Perjanjian Malaysia selain daripada Persekutuan Tanah Melayu (lebih baik digabungkan) baru lah dapat menukarkan Artikel 1(2) dalam perlembagaan iaitu Malaysia terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Mengenai cadangan pembangunan di Balai Ringin, Abang Johari berkata ia akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dengan perancangan yang holistik. 

Apa yang lebih penting katanya adalah untuk memastikan bekalan air di Balai Ringin mencapai liputan 100 peratus menjelang tahun 2024. 

Ketika ini katanya liputan bekalan air di Balai Ringin hanya 30 peratus dan perlu dipertingkatkan kepada liputan 100 peratus. 

Terdahulu dalam ucapannya Abang Johari meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta bagi pembinaan Stadium Mini Balai Ringin. 

Pembinaan stadium tersebut telah diluluskan dengan peruntukan RM10 juta ketika lawatan kerja beliau ke Lachau pada tahun 2019. 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing, Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan serta yang lain. 

  • oleh
  • Advertisement