Anda di sini

PKPD di Kampung Gayang Tuaran 

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Gayang, Tuaran bermula 10 April sehingga 23 April 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata pelaksanaan PKPD ini bagi menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke luar lokaliti ini serta membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan secara bersasar terhadap semua penduduk.

“Sehingga kini, KKM sudah melakukan 38 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak lima kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM juga mengesahkan berlakunya peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya.

Tambahnya dalam tempoh sama PKPD turut dilaksanakan di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk Sandakan yang turut mencatatkan keseluruhan 17 kes positif hasil pemeriksaan 103 bagi ketiga-tiga lokaliti.

Sementara itu katanya dua kluster baharu turut direkodkan iaitu Kluster Sim-Sim di Sandakan mempunyai jumlah kumulatif sebanyak 15 kes iaitu kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di sebuah klinik pada 4 April lalu.

“Berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi di Flat Sim Sim pada 3 April lalu dan daripada 20 ahli keluarga terdekat yang disaring, 14 orang disahkan positif COVID-19.

“Kluster kedua ialah Kluster Batu Lima Jalan Sibuga di Sandakan iaitu kes indeks adalah pelajar di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dikesan positif COVID- 19 pada 30 Mac lalu melalui saringan bergejala dan tujuh daripada 143 saringan adalah positif,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata daripada 139 kes positif yang dilaporkan sebanyak 49 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 15 kes adalah saringan bergejala, 71 kes dari kluster sedia ada manakala empat kes dari lain-lain kategori.

  • oleh
  • Advertisement