Anda di sini

Ketua Menteri: RM30 juta diluluskan, bina Jambatan Ikonik Spaoh

Advertisement
Abang Johari menerima cenderamata pada majlis lawatan kerja Program Janji Ditepati di Dewan Masyarakat Spaoh. - Foto PENERANGAN.
Abang Johari menerima cenderamata pada majlis lawatan kerja Program Janji Ditepati di Dewan Masyarakat Spaoh. - Foto PENERANGAN.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk projek menaiktaraf sebuah jambatan ikonik di Spaoh.

Beliau berkata,  jambatan baru ini dibina kerana jambatan yang sedia ada tidak dapat dilalui dengan kenderaan berat termasuk kenderaan Bomba.

"Sebelum ini, ada rancangan untuk jambatan itu, tetapi saya menegaskan penduduk di sini berhak mendapat yang lebih baik. 

"Maka, kita menaik taraf jambatan berharga RM30 juta ini meskipun tendernya kurang daripada jumlah tersebut. Maknanya jambatan ini akan menjadi ikonik," katanya pada majlis lawatan kerja Program Janji Ditepati di Dewan Masyarakat Spaoh, Betong hari ini.

Abang Johari berkata tujuan lawatan kerjanya ke sini, adalah untuk melihat beberapa projek yang telah dilaksanakan di Bahagian Betong khasnya Spaoh.

"Untuk Spaoh, kita akan merencanakan berbagai projek pembangunan yang akan mentransformasikan kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk
Amar Douglas Uggah berkata, projek jambatan itu akan menelan belanja kira-kira RM26.75 juta.

"Surat tawaran untuk jambatan Sungai Paku di Jalan Tanjung Sebekut akan disampaikan hari ini.

"Ketua menteri menegaskan bahawa Spaoh mesti mempunyai jambatan yang lebih ikonik. Itulah sebabnya beliau meluluskan sejumlah RM30 juta meskipun jumlah tendernya hanya RM26 juta," katanya.

Untuk rekod, projek jambatan tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang pembinaannya dijadualkan bermula bulan depan.

Tempoh pembinaan jambatan mengambil masa 30 bulan dan dijangka selesai pada akhir 2023.

Hadir sama, Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta tetamu kehormat lain.
 

  • oleh
  • Advertisement