Anda di sini

KESVATS tidak patah semangat anjur aktiviti

Advertisement
 Antara ahli-ahli Kesvats yang menjayakan Mesyuarat Agung Kesvats kali kedua.
HADIR: Antara ahli-ahli Kesvats yang menjayakan Mesyuarat Agung Kesvats kali kedua.

KOTA KINABALU: Kelab Sukan Veteran ATM Sabah (KESVATS) tidak patah semangat sebaliknya terus bertekad mengadakan pelbagai aktiviti untuk mencapai misi dan visi kelab sebaik-baik saja wabak Covid-19 berakhir, kata Presidennya,Pegawai Waran II (B)  Hassan Ibrahim.

Katanya, Kesvats ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu dan didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Sukan Sabah pada 20 April 2017 bagi menjaga kebajikan veteran tentera, menjalankan aktiviti bersukan dan sebagainya.

Bagaimana pun, tidak banyak aktiviti  dapat dilakukan kerana kekurangan dana dan ramai ahli bekerja  di luar kawasan.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah  Pertandingan Bola Tampar Pantai anjuran bersama Nasyah Enterprise dan Restoran Anjung Selera pada Nov 2019.

Selepas itu, banyak aktiviti tergendala akibat  pandemik COVID-19. Beliau melahirkan penghargaan kepada JHEV kerana menyalurkan dana kepada Kesvats.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung  Kesvats kali kedua di Dewan Madani Wisma MUIS, baru-baru ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Pesuruhjaya Sukan Negeri Sabah, Puan Sempini Langiton.

Di samping menjalankan aktiviti bersukan, kelab juga mengadakan aktiviti kemasyarakatan gotong-royong, lawatan  serta aktiviti amal dan kebajikan.

Selain itu kelab juga berusaha menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta bagi mencari peluang pekerjaan kepada ahli-ahli yang  memiliki  kemahiran semasa dalam perkhidmatan, mencari ruang tapak berniaga untuk ahli-ahli menjalankan perniagaan.

Katanya, antara aktiviti yang dirancang selepas pandemik  COVID-19 ialah kayuhan basikal empat negara iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) membawa misi keamanan sejagat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Penasihat Prof Dato Dr Haji Ismail Haji Idris merangkap Pengerusi Pertubuhan Kami Sayang Sabah (SWECA), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sabah (JHEV), Mejar Kamarulhelmi Mohammad Isa, Pengurus Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat)  Negeri Sabah, Timbalan Presiden Kesvats Haji Nasip Haji Justin dan ahli-ahli dan kenamaan yang lain.

  • oleh
  • Advertisement