Anda di sini

296 kes COVID-19, empat kematian di Sarawak

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Kes jangkitan harian baharu COVID-19 di Sarawak menurun kepada 296 kes hari ini berbanding 555 kes semalam dengan empat lagi kematian direkodkan. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata Bintulu merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 101 kes diikuti Kuching (41), Miri (35) dan Sibu (32). 

Manakala lain-lain kes dikesan di Matu (26), Subis (9), Serian (8), Kanowit (7), Sarikei (7), Samarahan (7), Julau (6), Meradong (5), Marudi (3), Tebedu (2), Bau (2) dan masing-masing satu kes di Beluru, Saratok dan Sebauh. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 19,558 kes manakala jumlah kematian meningkat kepada 124 orang. 

“Daripada 296 kes baharu yang dilaporkan, 190 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19. 

“Manakala 49 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan, 31 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan 26 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada,” katanya. 

Mengenai empat kes kematian, kes ke-121 melibatkan lelaki tempatan berumur 48 tahun yang dirujuk ke Hospital Kapit. 

Saringan ujian rt-PCR dibuat dan didapati positif pada 5 April dan kes yang turut mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, gout, dislipidemia dan strok disahkan meninggal pada hari yang sama. 

“Kes kematian ke-122 melibatkan perempuan warga tempatan berumur 83  tahun yang dimasukkan kes Hospital Sibu. 

“Pesakit ini mengalami gejala batuk dan kesukaran bernafas dan dikesan positif COVID-19 melalui ujian saringan yang dibuat pada 30 Mac 2021. 

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2021,” katanya menambah kes turut mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, gout, dislipidemia dan kanser payudara. 

Dua lagi kes kematian masing-masing iaitu kes ke-123 dan kes ke-124 masing-masing melibatkan perempuan warga tempatan berumur 72 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu. 

Kedua-dua kes disahkan meninggal dunia pada 9 April 2021 dan turut mempunyak ko-morbid penyakit lain dengan kes ke-124 adalah daripada Kluster Rajang. 

JPBNS turut memaklumkan terdapat 381 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini  dengan jumlah keseluruhan kes yang telah pulih dan dibenar discaj meningkat kepada 15,911 orang atau 81.35 peratus. 

Jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital adalah seramai 3,463 orang. 

Manakala seramai 336 individu disyaki (PUI) baru dilaporkan dengan enam PUI masih menunggu keputusan ujian makmal. 

  • oleh
  • Advertisement